suria

Perbicaraan Anwar mohon ketepi pertuduhan liwat 26 Jun

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 26 Jun ini untuk mendengar permohonan pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta mahkamah mengetepikan pertuduhan liwat beliau.

Peguamnya S.N Nair berkata beliau dimaklumkan semalam oleh mahkamah itu bahawa kes tersebut akan didengar oleh Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah pada tarikh itu.

Kelmarin, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, 62 tahun memfailkan permohonan untuk mengetepikan pertuduhan liwatnya, mendakwa bahawa ia dibuat dengan niat tidak baik dan bersifat menindas.

Pada 10 Mac, Anwar tidak mengaku bersalah terhadap tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 24, di sebuah kondominium di Bukit Damansara di sini pada 26 Jun tahun lepas.

Dalam notis usul beliau, Anwar meminta untuk mengetepikan pertuduhan itu dengan segera. Beliau mendakwa dalam afidavit sokongannya bahawa pertuduhan liwat dan pendakwaan terhadapnya adalah mala fide, menindas dan menyalahgunakan proses mahkamah.

Mahkamah yang sama itu juga akan mendengar satu lagi permohonan Anwar Isnin ini untuk meminta pihak pendakwaan memberikan beliau semua dokumen berkaitan kes liwatnya secepat mungkin. BERNAMA

Artikel Lain