suria

Pemuda UMNO teruskan sesi dialog dekati penduduk pelbagai kaum

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno akan meneruskan sesi dialog dengan penduduk pelbagai kaum termasuk di Sabah dan Sarawak untuk mengetahui suara hati mereka dalam pelbagai perkara.

Ketuanya Khairy Jamaluddin berkata perjumpaan itu penting bagi memastikan Pemuda Umno dapat berkhidmat untuk semua tanpa mengira kaum.

"Jadi kita tidak terhad kepada isu yang berhubung kait dengan kaum kita sendiri seperti Umno dengan Melayu, MCA dengan Cina, MIC dengan India. Parti komponen di Sabah dan Sarawak juga tidak akan dilupakan," katanya kepada pemberita selepas sesi dialog khas bersama Lapan Pertubuhan Utama Belia Cina (EMCO) di sini, semalam.

Beliau berkata antara isu yang dibincangkan pada sesi dialog itu adalah pendidikan seperti pemberian biasiswa dan kemasukan ke universiti, ekonomi serta isu perpaduan dan integrasi nasional.

Khairy berkata Pemuda Umno akan menganjurkan sesi dialog antara Ketua Pemuda MCA Datuk Dr Wee Ka Siong dengan Pertubuhan Belia 4B dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung pada 29 Jun depan. BERNAMA

Artikel Lain