suria

Hisham: Polis masuk DUN Perak atas permintaan Speaker lantikan BN

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mempertahankan tindakan polis memasuki Dewan Undangan Negeri awal bulan lalu atas alasan ia dilakukan ekoran permintaan Speaker baru yang dilantik Barisan Nasional (BN).

"Lantaran daripada pelantikan Speaker yang baru, Sivakumar (Speaker yang lama dari Pakatan Rakyat) enggan akur dengan keputusan yang dibuat dan gagal meninggalkan kerusi Speaker sedangkan pada waktu itu beliau tidak lagi memegang jawatan tersebut.

"Walaupun beliau telah berulang kali diarahkan keluar, beliau didapati masih ingkar berbuat demikian sehinggalah Speaker yang baru dilantik meminta bentara untuk mengeluarkan beliau dari Dewan," kata beliau.

Oleh kerana keadaan ketika itu kecoh, jelas Hishammuddin, maka Speaker baru yang dilantik telah meminta polis masuk ke dalam Dewan Undangan Negeri untuk mententeramkan keadaan dan juga membantu bentara untuk mengeluarkan Speaker lama keluar dari Dewan.

Menjawab soalan asal Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (Permatang Pauh-PKR) di Dewan Rakyat hari ini, Hishammuddin berkata, Speaker baru memanggil polis berlandaskan kepada Perintah 89 dan 90 Perintah-perintah Tetap Dewan Undangan Negeri Perak.

"Dakwaan Yang Berhormat Permatang Pauh (Anwar) dan Beruas terhadap pihak polis yang dikatakan telah menceroboh Dewan Undangan Negeri Perak adalah tidak benar.

"Ini kerana tindakan pihak polis masuk ke dalam Dewan adalah atas permintaan Speaker Dewan dan berasaskan kepada undang-undang," katanya.

Artikel Lain