suria

Malaysia sedia bantu Indonesia padam kebakaran

SHAH ALAM: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata Malaysia sedia membantu Indonesia dalam kerjakerja memadamkan kebakaran di beberapa kawasan di republik itu, termasuk dengan menggunakan kaedah pengeboman air.

"Malaysia bersedia, kita ada kapal terbang khas (untuk) pengeboman air milik APMM (Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia) yang boleh digunakan," katanya pada satu persidangan akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan Umno Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata demikian semasa mengulas kesediaan kerajaan menghantar satu pasukan bagi membantu Indonesia memadamkan kebakaran di beberapa kawasan titik panas yang berpunca daripada pembakaran terbuka di republik itu, seperti di Sumatera, yang dikatakan membawa masalah jerebu kepada Malaysia.

Najib berkata Malaysia akan membuat tawaran bantuan ini kepada Indonesia, namun terpulang kepada Jakarta untuk membuat keputusan mengenai tawaran itu.

"Setakat ini kualiti udara semakin buruk tetapi belum sampai peringkat berbahaya," tambahnya. BERNAMA

Artikel Lain