suria

Peruntukan RM12 juta bangunkan Pasar Rakyat Rantau Panjang

RANTAU PANJANG: Kerajaan memperuntukkan RM12 juta untuk membina dan membangunkan Pasar Rakyat Rantau Panjang, Kelantan, kata Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.

Beliau berkata pembinaan pasar rakyat itu bagi mengantikan pasar rakyat yang sedia ada, yang keadaannya terlalu uzur.

Pembinaan pasar berkenaan adalah penting memandangkan pekan Rantau Panjang merupakan pintu masuk ke negara ini dan merupakan salah satu produk pelancongan yang mampu menarik ramai pelancong, katanya kepada pemberita selepas melawat Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin serta sekitar pasar itu di kawasan Zon Bebas Cukai Rantau Panjang di sini hari ini.

Pekan ini menyediakan pelbagai barangan untuk pengunjung membeli belah dan adanya kerjasama dengan negara jiran terutamanya daerah Sungai Golok, Thailand, ia akan memantapkan lagi industri pelancongan di negeri ini, katanya.

Turut hadir Pengerusi Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Kelantan (MTPNK), Datuk Abdul Aziz Derashid, Pengurus Besar MTPNK, Sulaiman Ismail dan Ketua Jajahan Sungan Golok, Somkiat Suwannimit. Dr Ng berkata walaupun tarikh pelaksanaan projek pembangunan pasar rakyat itu belum ditetapkan tetapi ia dijangkakan siap selewatlewatnya pada pertengahan 2011 selaras dengan peruntukan mengikut Rancangan Malaysia Ke Sembilan (RMK9).

Projek ini akan diuruskan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Kementerian Pelancongan akan menempatkan seorang pegawai bagi membantu dan memantau projek berkenaan agar ia selaras dengan prospek yang ditetapkan, katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain