suria

Syabu bernilai RM5.1 juta dirampas di KLIA, dua warga Iran ditahan

NILAI: Dua warga Iran ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang dekat sini dua hari lalu selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia mengesan 20.4 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM5.1 juta dalam bagasi keduadua lelaki itu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) Datuk Md Hassim Pardi berkata dadah itu ditemui disembunyikan dalam satu lapisan rahsia dalam bagasi berkenaan.

Keduadua lelaki itu tiba dengan pesawat dari Dubai ke KLIA pada pukul 4 petang dan apabila kandungan bagasi itu dikesan melalui mesin pengimbas, mereka menjadi panik, katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Katanya kedua-dua warga Iran berumur dalam lingkungan 20an dan 30an itu boleh didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Beliau berkata pada hari yang sama, kastam juga berjaya mengesan penghantaran dadah yang dibuat melalui pos dari Seri Kembangan, Selangor ke Miri, Sarawak.

"Tumpuan siasatan kita sekarang ini adalah pada pengirim dan penerima. Alamat pengirim selepas disiasat ternyata tidak wujud. Kita sedang buat siasatan ke atas alamat penerima di Miri," katanya.

Kotak kiriman pos laju itu dikesan pada pukul 10.25 pagi dan didapati mengandungi 8,950 biji pil eramin bernilai RM179,000 dan 500 biji pil ecstasy dengan harga pasaran RM15,000, katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain