suria

Suami isteri ditemui mati dengan kesan kelar

KUALA LUMPUR: Bau busuk dari dalam sebuah rumah akhirnya terjawab apabila mayat sepasang suami isteri dengan kesan kelar di kedua-dua pergelangan tangan dan perut ditemui di dalam rumah itu yang terletak di tingkat 22, Kondominum Impian Sutera, Jalan Batu 4 Gombak di sini hari ini.

Mayat Gerard Lopez a/l Robert Lopez, 44, dan Brenda Lizabeth a/p Karen Pereira, 43, ditemui kira-kira pukul 2 petang oleh kakak dan abang Brenda setelah terhidu bau busuk dari dalam rumah itu.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan berkata mayat Gerard yang merupakan seorang pemandu teksi ditemui di ruang tamu rumah tersebut dengan kesan kelar di kedua-dua belah tangan, manakala mayat Brenda yang bekerja sebagai setiausaha di Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) ditemui di dalam bilik dengan kesan kelar diperut.

"Kakak dan abang mangsa yang tiba di rumah ini terhidu bau busuk. Curiga dengan bau itu, abang mangsa bertindak memecahkan pintu rumah dan menemui mayat suami (Gerard) dengan berlumuran darah di ruang tamu rumah," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau berkata polis yang tiba di tempat kejadian menemui mayat Brenda di dalam bilik tidur utama dengan kesan kelar diperut dan turut ditemui sebilah parang di dalam bilik itu.

Zakaria berkata pihaknya sedang menyiasat punca kejadian dan mayat keduadua mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

"Kita tunggu sehingga laporan bedah siasat keluar baru dapat pastikan punca kematian sama ada mangsa mati dibunuh atau sebaliknya," katanya.

Beliau berkata polis tidak mengesyaki ada orang luar atau penjenayah memasuki rumah itu kerana siasatan awal mendapati rumah itu tiada kesan dipecah masuk serta digeledah dan mangsa dipercayai telah mati 48 jam yang lalu.

Katanya pasangan itu mempunyai tiga orang anak yang berusia antara lapan dan 18 tahun yang dijaga oleh adik Gerard.

"Ketigatiga anak mangsa tiada di rumah kerana dijaga oleh adik mangsa. Kali terakhir mangsa menghubungi keluarga pada Jumaat lepas," katanya. BERNAMA

Artikel Lain