suria

Ibrahim Ali desak laksanakan kajian pimpinan PAS di Kelantan

KOTA BAHARU: Satu kajian secara ilmiah dan akademik perlu dijalankan oleh rakyat Kelantan bagi menilai semula tahap kepimpinan parti PAS di negeri ini selama 20 tahun pemerintahan parti itu.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan Anggota Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali mendesak tindakan itu diambil kerana tahap pembangunan negeri Kelantan masih berada di takuk lama.

"Sepatutnya sumber pendapatan negeri ini melebihi RM1 bilion dan bukannya RM300 juta seperti yang berlaku pada hari ini," katanya kepada pemberita di Konvensyen Pembangunan Parlimen Pasir Mas 2009 di sini, semalam.

Ibrahim menegaskan bahawa rakyat di Kelantan mengalami kerugian yang amat besar sepanjang tempoh 20 tahun tersebut kerana negeri ini memiliki kekayaan alam semula jadi, budaya dan kerajinan rakyatnya sendiri.

"Pembangunan di negeri ini seharusnya dijalankan tanpa ada unsur politik supaya taraf hidup rakyat dapat ditingkatkan," katanya.

Ibrahim berkata seminar yang boleh menarik perhatian pelabur asing seharusnya diadakan oleh pemimpin negeri ini supaya pembangunan dapat ditingkatkan.

Katanya jika pembangunan negeri ini meningkat, lebih banyak peluang pekerjaan dapat ditawarkan dan seramai 600,000 rakyat Kelantan yang bekerja di luar negeri dapat pulang dan bekerja di negeri sendiri.

"Apa yang kita lihat, pemimpin di negeri ini sekarang hanya menghabiskan masa berpolitik sepanjang masa dengan berceramah tanpa henti dan memburukkan pihak lain tanpa berusaha untuk meningkatkan taraf hidup rakyat," kata beliau lagi.

Beliau turut menyarankan supaya rakyat negeri ini lebih celik dan melihat sendiri tahap pembangunan negeri pada masa ini. BERNAMA

Artikel Lain