suria

Selangor cadang letak Exco sebagai Ahli Lembaga Pengarah LPK

SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor bercadang menempatkan seorang daripada exconya yang akan ditentukan kelak sebagai ahli lembaga pengarah Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) yang bertujuan memantau perkembangan terkini isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri mempunyai hak untuk berbuat demikian berikutan satu kerusi ahli lembaga pengarah LPK memang telah dikhaskan untuk wakil dari kerajaan negeri.

"Pengarah UPEN (Unit Perancang Ekonomi Negeri) Datuk Noordin Sulaiman sebelum ini menduduki kerusi itu tetapi tempohya sudah tamat dua bulan lepas, sebab itu kita akan namakan seorang anggota exco untuk jadi ahli lembaga pengarah LPK.

"Ia adalah sebagai usaha untuk mengetahui perkembangan PKFZ dan masalah atau pembangunan Pelabuhan Klang secara total," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Meningkatkan Pendidikan Sekolah-Sekolah Tamil Selangor di sini hari ini.

Abdul Khalid berkata kerajaan negeri menyokong penubuhan PKFZ di Selangor kerana ia akan mempertingkatkan urus niaga perdagangan antarabangsa di negeri itu.

Selain itu katanya, penubuhan PKFZ akan menggalakkan banyak lagi pembinaan kilang yang tidak dikenakan cukai dan secara tidak langsung akan mempertingkatkan permintaan untuk pekerja di kawasan Klang.

"Ia juga akan dapat bangunkan industri tertentu seperti industri makanan halal yang dapat kita salurkan dan kita bangunkan daripada PKFZ," katanya.

Ditanya sama ada kerajaan negeri merancang untuk mengambil alih pengurusan PKFZ berikutan isu yang timbul berhubung pelaksanaannya, Abdul Khalid berkata: "Kerajaan negeri boleh ambil alih sekiranya kerajaan persekutuan memansuhkan akses kos pembangunan."

PKFZ milik LPK yang lokasinya terletak bersebelahan Pelabuhan Barat di Pulau Indah, Pelabuhan Klang, dibangunkan untuk menjadi hab serantau bagi eksport dan pindah kapal barangan perkilangan yang membabitkan kos RM1.85 bilion.

Sebelum ini, kerajaan Persekutuan mengarahkan siasatan penuh terhadap projek PKFZ kerana dakwaan wujud penyelewengan dalam pelaksanaannya yang bernilai RM4.6 bilion, sekali gus menyebabkan projek itu gagal dan menjadi gajah putih. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain