suria

Polis P.Pinang tahan tiga lelaki, rampas 34 ribu biji Eramin 5

PULAU PINANG: Polis menahan tiga lelaki yang dipercayai anggota sebuah sindiket pengedaran dadah dan merampas 34,000 biji pil Eramin 5 bernilai kirakira RM680,000 dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Bayan lepas dan Teluk Kumbar di sini.

Ketua Polis negeri Datuk Ayub Yaakob berkata ketiga-tiga lelaki berumur antara 20 dan 30 tahun itu ditahan secara berasingan pada malam Isnin dan awal pagi Selasa.

"Bertindak hasil risikan dan maklumat, sepasukan anggota polis menahan lelaki pertama di kawasan Quensbay pada kirakira pukul 10.30 malam Isnin," katanya pada persidangan akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen Pulau Pinang di sini hari ini.

Beliau berkata hasil pemeriksaan polis menemui kirakira 5,000 biji pil Eramin 5 bersama-sama lelaki itu dan dia dipercayai berada disitu untuk menghantar dadah berkenaan kepada pelanggannya.

"Berdasarkan maklumat yang diterima dari lelaki pertama itu, polis menyerbu sebuah rumah di Teluk Kumbar pada pukul 12 tengah malam hari yang sama dan berjaya menahan lelaki kedua," katanya.

Ayub berkata di rumah lelaki kedua itu, polis merampas 10,250 biji pil Eramin 5, sebelum menyerbu sebuah rumah lain di Bayan Lepas pada kira-kira pukul 1.30 pagi Selasa. Katanya di rumah berkenaan, polis menahan lelaki ketiga dan merampas 18,750 biji pil Eramin 5 serta menyita sebuah kereta bernilai RM25,000.

"Siasatan awal mendapati ketiga-tiga mereka yang tidak bekerja itu merupakan anggota sindiket pengedaran pil Eramin 5 yang dibawa masuk dari luar negara melalui kargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABL), di sini," katanya.

Beliau berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan agensi penguatkuasa lain bagi menyiasat siapa pemilik kargo berkenaan, dan menurutnya ketiga-tiga lelaki itu dipercayai hanya bertindak sebagai runner sebuah sindiket pengedaran dadah.

Ayub berkata sindiket itu dipercayai bergerak aktif di Pulau Pinang sejak beberapa bulan lepas dan polis sedang menyiasat sama ada pil yang dibawa masuk itu adalah untuk pasaran Pulau Pinang atau kawasan lain.

Katanya siasatan awal juga mendapati salah seorang daripada tiga lelaki yang ditahan itu mempunyai kesalahan lampau di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, dan kesemua mereka kini direman sehingga Ahad bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain