suria

Mahathir harap kerajaan tidak ubah pendirian tentang Chin Peng

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan perlu tegas dengan pendiriannya untuik tidak membenarkan Chin Peng pulang ke negara ini.

Katanya kerajaan perlu faham bahawa rakyat akan kecewa sekiranya pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) itu dibenarkan kembali ke Malaysia.

"Jelas sekali, banyak orang tidak suka, jadi kenapa mesti menyebabkan orang tidak gembira. Kalau mereka tidak suka, biarkanlah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian hadiah kepada pemenang Peraduan Esei 2008 bertajuk "Memperkasa Minda Pemimpin Masa Depan" di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian bagi mengulas gesaan pihak tertentu agar kerajaan membenarkan Chin Peng kembali ke Malaysia, yang dimulakan oleh Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Dr Teng Hock Nan apabila beliau berkata pemimpin PKM itu patut dibenarkan pulang ke negara ini atas dasar perikemanusiaan memandangkan dia tidak lagi menjadi ancaman terhadap keselamatan negara.

Saranan Teng itu disokong beberapa pemimpin pembangkang.

Ditanya sama ada wajar bagi pihak tertentu mendesak kerajaan supaya mengubah pendiriannya, beliau berkata kebebasan bersuara membenarkan orang berkata apa saja yang mereka suka, tetapi kerajaanlah yang membuat keputusan.

Mengulas tentang kadar penerimaan sebanyak 45 peratus yang diberi terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melalui satu kaji selidik, Dr Mahathir menyifatkannya sebagai bagus.

Kajian yang dijalankan oleh Merdeka Centre for Opinion Research menunjukkan 45 peratus responden dari Semenanjung Malaysia berpuas hati dengan prestasi Najib. Ia juga menunjukkan 53 peratus responden Melayu, 64 peratus responden India dan 24 peratus responden Cina berpuas hati dengan prestasi perdana menteri.

Ditanya tentang penubuhan Majlis Penasihat Ekonomi Kebangsaan, yang diumumkan Najib Rabu lepas, Dr Mahathir berkata "ia sesuatu yang sangat baik".

Beliau juga yakin majlis itu mampu mencapai objektifnya untuk mengubah kedudukan ekonomi negara ini daripada penjana pendapatan sederhana kepada penjana pendapatan tinggi.

Terdahulu, isteri beliau Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, yang juga Canselor Universitui Multimedia, menyampaikan hadiah kepada pemenang peraduan tersebut. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain