suria

Cucu Ketua Menteri Sarawak meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Setelah dua hari koma akibat lemas kolam renang di kediaman keluarganya di sini, Celestia Lulua Mahmud Abu Bekir, 4, cucu perempuan kepada Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud meninggal dunia pagi ini.

Jenazah Celestia dilihat dibawa keluar dari Wad Pediatrik Hospital Kuala Lumpur di sini pada 11.55 pagi oleh Taib diiringi keluarga untuk dimandi dan disolatkan selepas Zohor di Masjid Khalid Ibnu Al Walid, Jalan Padang Tembak di sini.

Jenazah kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini. Wartawan dan jurugambar yang menunggu di luar perkarangan masjid dilarang menemubual anggota keluarga.

Celestia dimasukkan ke unit rawatan rapi HKL pada Isnin lepas kerana tidak sedarkan diri setelah tergelincir dan terjatuh ke dalam kolam renang di rumahnya di Kondominium Duta Nusantara di sini.

Pada 29 April lepas, isteri Taib, Puan Sri Laila, meninggal dunia akibat kanser. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain