suria

Buruh dengan 27 sabitan jenayah lampau dihukum penjara

KUALA LUMPUR: Seorang buruh yang mempunyai 27 sabitan jenayah lampau nampaknya masih insaf, apabila hari ini beliau disabit pula dengan kesalahan memiliki van curi.

Tan Han Awa, 56, dijatuhi hukuman penjara 42 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan memiliki van curi itu, dua bulan lalu.

Majistret Abdullah Siddiq menjatuhkan hukuman itu berdasarkan kepada rekod kesalahan Tan, yang mempunyai 27 sabitan lampau bagi kesalahan berkaitan jenayah curi sejak 1971 sehingga 2007.

Abdullah memerintahkan Tan menjalani hukuman itu bermula hari ini.

Tan mengaku salah memiliki harta curi iaitu sebuah van bernombor pendaftaran BDE 741 Toyota Liteace warna Perak, milik Siti Alwiah Sudin, 40, di hadapan Kedai Nikko Auto & Electrical Services no 17, Jalan Chan Sow Lin, Salak Selatan di sini pada pukul 2.15 petang, 15 April lalu.

Beliau yang tidak diwakili didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Tan yang mempunyai seorang anak, baru dibebaskan dari penjara pada bulan Januari lepas.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurhanum Hassan. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain