suria

Wanita maut kes langgar lari

PENDANG: Seorang remaja perempuan maut setelah motosikal yang diboncengnya dipercayai dirempuh sebuah lori dalam kejadian langgar lari, di sini hari ini.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik daerah Pendang, Cif Inspektor Abdul Ghani Kamis berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 5.45 petang di Kilometer 72.5 Lebuhraya Utara-Selatan.

Katanya, ketika kejadian mangsa, Sheila Shuib, 21, berasal dari Kampung Telok Amboi, Sungai Petani membonceng motosikal yang dibawa oleh rakannya dari arah Alor Setar-Sungai Petani.

"Setiba di tempat kejadian, motosikal yang dinaiki mangsa dipercayai dirempuh oleh kenderaan lain menyebabkan mereka terbabas dan mengalami kecederaan parah," katanya di sini.

Berikutan itu, kedua-dua mangsa yang parah dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk menerima rawatan, namun Sheila meninggal dunia sejurus menerima rawatan.

Katanya, pihak polis mengklafikasikan kes itu sebagai langgar lari.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi segera IPD Pendang di talian 04-7596222 bagi membantu siasatan," katanya. BERNAMA

Artikel Lain