suria

Raja Petra sekali lagi tidak hadir di mahkamah

PETALING JAYA: Penulis blog Raja Petra Raja Kamaruddin sekali lagi gagal hadir di Mahkamah Sesyen di sini hari ini bagi menghadapi perbicaraan kerana dituduh menerbitkan kata-kata hasutan dalam laman web yang dikendalikannya.

Raja Petra, 59, yang didakwa menerbitkan katakata itu di laman web http://www.Malaysia Today.com, juga tidak hadir pada 23 April lepas bagi sambungan perbicaraan sehingga pihak pendakwaan memohon waran tangkap terhadapnya.

Hakim Aslam Zainuddin yang mengendalikan kes bagi pihak Hakim Rozina Ayob, kemudian memutuskan kes itu ditangguh sehingga 17 Julai ini.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Shah Rizal Abdul Manan memaklumkan kepada mahkamah bahawa waran tangkap yang dikeluarkan pada 23 April lalu gagal diserahkan kepada Raja Petra.

Shah Rizal berkata notis tunjuk sebab ketidakhadiran penjamin yang juga isteri Raja Petra, Marina Lee Abdullah, juga gagal disempurnakan.

Peguambelanya, J Chandra memohon supaya mahkamah menangguhkan kes tanpa menetapkan sebarang tarikh sehingga polis berjaya menahannya.

Bagaimanapun, Aslam berkata, tarikh perlu ditetapkan memandangkan beliau hanya menyebut bagi pihak Rozina.

Pada 23 April lalu, Hakim Rozina Ayob memerintahkan waran tangkap dikeluarkan terhadap Raja Petra berikutan kegagalannya hadir di mahkamah.

Raja Petra, menerusi laman web Malaysia Today, mengemukakan beberapa alasan mengenai ketidak hadirannya antaranya sebagai kerabat Selangor penulis blog itu memutuskan untuk keluar dari Selangor selaras dengan hukuman buang negeri ke atasnya kerana dianggap derhaka kepada Sultan Selangor.

Raja Petra, 59, didakwa menerbitkan satu artikel bertajuk ""Let's Send Altantuya Murderers To Hell" yang mengandungi aya-tayat menghasut di laman web http://www.Malaysia Today.com

Dia didakwa melakukan perbuatan itu dirumahnya di No.5, Jalan BRP 5/5, Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, pada 25 April tahun lepas.

Artikel Sebelum

Zambry MB Perak sah

Artikel Berikut

Artikel Lain