suria

Kayveas akan cuba selesai isu anggota PPP dipecat

SEREMBAN: Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk M.Kayveas berkata beliau akan cuba menyelesaikan masalah dengan tujuh anggota parti itu termasuk Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T. Murugiah yang dipecat oleh Lembaga Disiplin kerana didakwa melakukan pelbagai kesalahan dalam parti.

"Di sini, saya sekali lagi meminta mereka untuk membuat rayuan. Mereka ada deadline sehingga 30 Mei ini untuk berbuat demikian. Walaupun kita tahu dua daripada mereka sudah menyatakan dalam akhbar bahawa mereka tidak akan membuat rayuan tetapi saya minta mereka supaya jangan tunggu deadline," katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Beliau yang ditemui selepas merasmikan Konvensyen PPP Negeri Sembilan 2009 di sini berkata dalam hubungan ini, mereka perlu mengikut peraturan dalam perlembagaan parti.

Mengulas lanjut, beliau berkata dalam mesyuarat Barisan Nasional (BN) baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga pengerusi BN telah menyatakan bahawa masalah parti hendaklah diselesaikan dalam parti.

Sementara itu, Kayveas berkata PPP akan mengadakan perhimpunan agungnya di PWTC, Kuala Lumpur pada 7 Jun ini yang akan dirasmikan oleh Najib. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain