suria

Penanti: Keputusan BN tambah keyakinan bekas Ketua Wanita PKR

PETALING JAYA: Aminah Abdullah yang menawarkan diri bertanding sebagai calon Bebas di Penanti berkata, keputusan Barisan Nasional (BN) tidak meletakkan calonnya memberikan beliau keyakinan untuk memenangi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri itu.

Bekas Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang itu memberitahu, keyakinan beliau semakin bertambah apabila BN mengambil keputusan untuk tidak bertanding pada pilihan raya kecil itu.

"Insya-Allah saya lebih yakin untuk bertanding... masa awal saya katakan nak bertanding juga saya sudah yakin.

"Tapi sekarang keyakinan saya semakin bertambah dan saya makin bersemangat," katanya kepada mStar Online.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai keputusan BN untuk tidak meletakkan calon pada pilihan raya kecil Penanti atas alasan pilihan raya berkenaan hanyalah satu permainan politik pembangkang dan bukan disebabkan keperluan mengikut kehendak Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas lanjut mengenai pendirian BN itu beliau berkata, BN mungkin ada sebab tersendiri untuk tidak bertanding pada pilihan raya kali ini.

"BN mungkin ada sebab-sebab tertentu, saya tak tahulah apa sebabnya.

"Tapi saya amat berterima kasih kepada BN kerana tak bertanding kerana hasrat saya ialah untuk menentang PKR (Parti Keadilan Rakyat) dan berbakti kepada rakyat Penanti," katanya.

Aminah menyatakan hasrat bertanding sebagai calon Bebas kerana merasakan perjuangan PKR kini tersasar daripada matlamat asal penubuhannya.

Malah PKR juga telah mengumumkan calon mereka untuk bertanding di Penanti iaitu Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Mansor Othman.

Semalam seorang lagi calon Bebas iaitu seorang ahli peniagaan, Mohd Saberi Othman turut mengumumkan hasrat untuk bertanding pada pilihan raya kecil Penanti.

Dengan itu sehingga kini tiga calon telah mengesahkan untuk merebut kerusi itu.

Pilihan raya kecil DUN Penanti diadakan berikutan penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin dari PKR meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti 16 April lalu.

Selain itu mengulas mengenai jangkaan banyak pihak bahawa akan ada lebih ramai individu yang bakal menawarkan diri untuk bertanding atas tiket bebas di DUN Penanti, Aminah berkata beliau tidak mempunyai masalah dengan situasi berkenaan.

"Yang terbaru semalam saya dapat tahu ada lagi seorang calon bebas, saya tak ada masalah, saya tak kisah.

"Masing-masing ada hak untuk bertanding, apa yang penting saya ada keyakinan dan saya tahu apa matlamat saya," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain