suria

Murugiah: Saya jumpa PM kerana tidak mahu imej terjejas

IPOH: Bekas Ketua Pemuda Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk T. Murugiah hari ini berkata beliau berjumpa dan memberi penjelasan kepada Perdana Menteri berhubung krisis dalaman parti itu kerana khuatir tuduhan terhadap beliau akan menjejaskan imej kerajaan.

Katanya, sebagai seorang anggota pentadbiran kerajaan, tuduhan yang dilempar sangat serius dan boleh menjejaskan imej kerajaan.

"Saya beri penjelasan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak). Beliau tahu perkara sebenar....saya jumpa PM kerana tuduhan itu serius dan menjejaskan, saya kena beri penerangan supaya tidak menjejaskan imej kerajaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Sukan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Daerah Kinta di sini.

Murugiah yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden PPP Datuk M. Kayveas bahawa Murugiah sepatutnya bersemuka dengan beliau dan bukannya berjumpa Najib untuk menyelesaikan masalah parti.

Enggan mengulas lanjut mengenai perjumpaannya dengan Najib, katanya beliau akan meneruskan tugas Timbalan Menteri khususnya menyelia Biro Pengaduan Awam (BPA).

Antara tuduhan yang dihadapi Murugiah adalah beliau mengamalkan politik wang menjelang pemilihan PPP serta mahu menguburkan parti berkenaan.

Mengenai dakwaan beliau mahu menguburkan parti itu, Murugiah berkata beliau bukan Pendaftar Pertubuhan (ROs) yang mempunyai kuasa untuk mengharamkan parti berkenaan.

Beliau mendakwa isu itu timbul selepas Kayveas membatalkan PPP Cawangan Silibin di Ipoh yang diterajuinya.

"Mengapa saya nak haramkan PPP. Saya datang dari parti yang sama. Kalau PPP diharamkan, saya tidak boleh jadi Timbalan menteri.

Macamana saya nak buat begitu," katanya. Semasa diajukan soalan mengenai kemungkinan beliau menyertai parti komponen Barisan Nasional (BN) jika dipecat daripada PPP, Murugiah tidak memberikan sebarang jawapan. BERNAMA

Artikel Lain