suria

Kes Murugiah: Empat orang dipanggil beri keterangan

KUALA LUMPUR: Polis telah memanggil empat orang bagi membantu siasatan berhubung penemuan nota ugutan dan dua butir peluru di hadapan pintu utama pejabat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T. Murugiah Isnin lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata mereka telah dipanggil untuk memberi keterangan berhubung perkara itu, namun beliau enggan memberitahu bila mereka dipanggil.

"Kita sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh dan keputusan siasatan itu akan diumumkan nanti," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

Ditanya sama ada orang dalam terlibat dengan kes itu, Ku berkata beliau tidak mahu membuat sebarang spekulasi dan menunggu sehingga siasatan kes itu selesai.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, seorang pegawai di pintu pejabat di tingkat 3, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya menemui satu bungkusan misteri yang mengandungi dua kelongsong peluru dan satu nota yang mengugut Murugiah supaya tidak bertanding sebarang jawatan pada pemilihan Parti Progresif Penduduk (PPP) yang akan diadakan tidak lama lagi. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain