suria

Pemimpin Hindraf dijemput sertai MIC

KUALA LUMPUR: MIC menjemput pemimpin-pemimpin Hindraf yang kini bebas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) agar menyertai parti itu, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Dr. S. Subramaniam hari ini.

Kesemua lima pemimpin yang ditahan di bawah ISA sejak Disember 2007 telah dibebaskan sehingga semalam.

Dua orang dibebaskan awal bulan lalu manakala yang lain semalam.

Malah, MIC mempelawa pemimpin Hindraf untuk berbincang dan bekerjasama dengannya demi kepentingan masyarakat India.

Setiausaha Agung MIC, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, parti itu juga sedia menimbang pandangan serta syor pergerakan itu dalam usaha memperbaiki nasib kaum India di negara ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kuil Kebangsaan di sini hari ini bagi mengulas kenyataan pengasas Hindraf P. Uthayakumar dalam temu bual dengan sebuah portal berita semalam, sejurus selepas pembebasannya daripada ISA bahawa beliau akan terus berjuang untuk membela nasib masyarakat India, yang didakwanya terpinggir di negara ini.

Sambil mempelawa para pemimpin Hindraf menyertai parti itu, Dr. Subramaniam dipetik Bernama berkata, memandangkan MIC dan Hindraf berkongsi matlamat untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat India, maka kerjasama antara mereka sebagai sebuah kumpulan akan membuahkan hasil yang lebih baik ke arah mencapai matlamat itu.

"Saya ingin melihat masyarakat India yang bersatu padu kerana seperti yang dapat kita lihat, perpecahan yang berlaku dalam kumpulan ini tidak membantu masyarakat India," katanya sambil melahirkan harapan agar segala kepahitan yang wujud sebelum ini dapat diketepikan demi kebaikan anggota masyarakat itu.

Artikel Lain