suria

Pengawal keselamatan ditahan bagi bantu siasatan kes samun

PULAU PINANG Polis menahan seorang pengawal keselamatan bagi membantu siasatan berhubung kejadian dua lelaki yang bersenjatakan pistol melarikan wang tunai kira-kira RM25,000 dari sebuah pasar raya di Taman Lip Sin di sini semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakub berkata lelaki berusia lingkungan 40an itu ditahan semalam, selepas polis mendapati beberapa keterangan yang diberikan berhubung kejadian itu didapati mencurigakan.

"Dia ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan berikutan beberapa keterangannya bercanggah dan mencurigakan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata polis turut menyiasat sama ada wujud kecuaian atau kelalaian ketika tiga pengawal keselamatan berkenaan melakukan kutipan hasil jualan sehingga mereka disamun dua lelaki tersebut.

"Polis turut melancarkan Ops Tutup bagi mengesan dua lelaki berkenaan yang dipercayai berusia dalam lingkungan 30an," kata Ayub. Dalam kejadian pukul 11.30 pagi tersebut, dua lelaki bersenjatakan pistol melarikan wang tunai RM25,000 dalam tempoh kurang 10 minit ketika tiga pengawal keselamatan sedang melakukan kutipan hasil jualan di pasar raya itu.

Keigatiganya sedang membawa wang tunai melalui pintu belakang pasar raya itu sebelum diserang seorang lelaki yang melepaskan tiga das tembakan rambang sebelum rakannya melarikan beg berisi wang berkenaan. BERNAMA

Artikel Lain