suria

Siapa Menteri Besar ditentukan mahkamah Isnin ini

KUALA LUMPUR: Persoalan mengenai siapa antara Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar Perak yang sah akan ditentukan oleh Mahkamah Tinggi di sini Isnin ini.

Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim akan mengumumkan pada 2.30 petang keputusan mengenai permohonan Mohammad Nizar pada 13 Februari lepas agar mahkamah mengisytiharkan beliaulah Menteri Besar yang sah dan Dr Zambry tidak berhak memegang jawatan itu.

Mohammad Nizar, 52, dilantik pada 17 Mac tahun lepas setelah pakatan DAP, Pas dan PKR menang 31 daripada 59 kerusi dalam pilihan raya umum pada 8 Mac tetapi setelah tiga Anggota Dewan Undangan Negeri Perak daripada pakatan itu keluar parti masing-masing untuk menyokong Barisan Nasional awal tahun ini, Sultan Perak Sultan Azlan Shah melantik Dr Zambry sebagai Menteri Besar setelah mendapati Mohammad Nizar telah kehilangan kepercayaan majoriti anggota Dewan kerana Barisan Nasional pula menguasai 31 kerusi.

Dalam afidavitnya, Mohammad Nizar berkata beliau masih Menteri Besar kerana antara lainnya, tidak ada undi tidak percaya dibuat terhadapnya dalam Dewan Undangan Negeri dan beliau tidak meletak jawatan.

Semasa prosiding hari ini, peguam utama beliau, Sulaiman Abdullah, memberitahu mahkamah bahawa krisis politik di Perak boleh diselesaikan dengan memberikan semula mandat kepada rakyat untuk memilih pemimpin mereka.

"Keputusan melucutkan jawatan pemimpin itu bukannya terletak pada Sultan mahupun rakyat. Dalam situasi ini, wakil rakyat (Anggota Dewan Undangan Negeri) adalah penentunya," kata Sulaiman.

Zambry diwakili peguam Datuk Cecil Abraham, Sunil Abraham dan Farah Shuhadah Razali manakala Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail bertindak sebagai pencelah. BERNAMA

Artikel Lain