suria

Sasterawan Negara ada hak suarakan bantahan terhadap PPSMI - Tun M

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata kelima-lima Sasterawan Negara yang menyatakan bantahan terhadap pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) berhak untuk bertindak sedemikian.

Malah beliau berkata semua pihak mempunyai hak untuk menyuarakan apa jua perasaan mereka terhadap dasar berkenaan.

"Mereka ada hak untuk buat apa pun," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kesanggupan dua Sasterawan Negara yang menyatakan kesanggupan mereka melepaskan gelaran masing-masing.

Semalam Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said dan Prof Muhammad Haji Salleh membayangkan sanggup melepaskan gelaran berkenaan jika ia menjadi faktor penghalang untuk menyuarakan bantahan mereka terhadap PPSMI.

Dalam pada itu, Mahathir juga berkata ibu bapa juga berhak untuk menentukan masa depan anak-anak mereka.

"Ibu bapa berhak untuk menentukan prospek untuk masa depan anak-anak mereka," katanya.

Mahathir juga berkata pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris bukan merupakan kaedah untuk seseorang itu mendalami bahasa asing tersebut.

"Mengajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris bukan kaedah untuk belajar bahasa Inggeris...tapi kaedah untuk mendalami dan belajar subjek sains dan matematik.

"Jika nak belajar bahasa Inggeris, belajarlah sastera Inggeris," katanya.

Artikel Lain