suria

Penyelia penyenggara hotel cabul tukang cuci dipenjara lima bulan

KUALA LUMPUR: Penyelia penyenggara Hotel Kowloon di sini, M.Gunasegar, 48, dijatuhi hukuman penjara lima bulan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini setelah didapati bersalah mencabul kehormatan seorang tukang cuci pada Hari Kebangsaan tujuh tahun lalu.

Majistret Nor Aziati Jaafar bagaimanapun menangguhkan hukuman tersebut setelah membenarkan permohonan peguam bela S.Suresh, yang mewakili Gunasegar, untuk memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi.

Gunasegar didakwa telah menggunakan kekerasan terhadap wanita berusia 40 tahun itu dengan menarik tangan, menutup mulut dan meraba tubuhnya dengan niat untuk mencabul di bilik 407, Hotel Kowloon di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini pada 2.30 petang 31 Ogos 2002.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa ASP Zulkifli Osman. BERNAMA

Artikel Lain