suria

Lelaki dirawat di Hospital Umum Sarawak negatif H1N1

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican mengesahkan bahawa kes seorang lelaki yang dirawat di bilik isolasi Hospital Umum Sarawak, Kuching tidak menghidap jangkitan virus Influenza A (H1N1).

Beliau berkata ujian virologi yang dijalankan di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) pada pukul 8 malam ini, menunjukkan bahawa seorang pesakit lelaki yang dirawat sebelum ini tidak menghidap jangkitan virus berkenaan.

"Maklumat yang diterima daripada hospital itu memaklumkan pesakit beransur pulih dengan rawatan yang sedang diberikan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sehingga hari ini, jumlah negara yang disahkan positif wabak Influenza A(H1N1) meningkat kepada 20 sejak kes pertama dilaporkan di Mexico pada akhir bulan lepas.

Jumlah kes kini adalah sebanyak 985 kes dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mungkin meningkatkan amaran ke tahap tertinggi iaitu Tahap 6 serta mengisytiharkan pandemik (penularan ke seluruh dunia). BERNAMA

Artikel Lain