suria

Polis bongkar sindiket curi kereta untuk alat ganti

MUAR: Polis berjaya membongkar sindiket curi kereta untuk alat ganti selepas menahan seorang lelaki dan merampas komponen kereta bernilai lebih RM200,000 dalam operasi cegah jenayah selama 48 jam di daerah ini yang berakhir tengah malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Datuk Amer Awal berkata lelaki berusia 40an itu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Arab di sini pada kira-kira pukul 1.15 pagi pada hari pertama operasi.

"Polis menemui sejumlah komponen kereta Proton Wira, Waja dan Kancil yang dipercayai dari kenderaan yang dicuri di rumah berkenaan," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan mendapati lelaki itu didapati mempunyai dua rekod jenayah lampau di bawah Akta Dadah Berbahaya di Selangor dan di bandar ini.

Amer berkata dalam operasi itu, polis turut menahan 109 individu atas pelabagai kesalahan dengan 66 daripadanya melibatkan pekerja asing yang terdiri daripada 24 warga Indonesia, Bangladesh (30), Pakistan (tujuh), India (dua), Myanmar (dua) dan seorang Vietnam. BERNAMA

Artikel Lain