suria

Pemaju diperintah baiki kerosakan rumah guru dalam sebulan

TAWAU: Tribunal Tuntutan Pembelian Rumah Sabah hari ini memerintahkan sebuah syarikat pemaju di Semporna memperbaiki semua kerosakan pada rumah yang dibeli seorang pembeli daripada pemaju itu dalam tempoh sebulan.

Pengerusi tribunal itu Ahamd Sedik dalam keputusannya meminta Bumient Sdn Bhd, yang diwakili Choo Chee Ming, melaksanakan kerja pembaikan secara profesional bagi rumah yang dibeli oleh Idris Heddak, 44, di Taman Pelangi, Semporna.

Idris, seorang guru yang mengajar di Sekolah Kebangsaan GelamGelam, Semporna, dalam tuntutannya mendakwa pemaju itu gagal mematuhi spesifikasi batu bata yang sepatutnya digunakan dalam pembinaan rumah berkenaan serta berlaku banyak keretakan pada pelbagai bahagian rumah dan menuntut ganti rugi berjumlah RM40,000.

Idris berkata pemaju menggunakan jenis batu simen ketika membina rumahnya dan bukannya batu merah yang diperbuat daripada tanah liat seperti yang dijangkanya.

Ahmad dalam penghakimannya berkata bahawa tribunal berkenaan tidak boleh menerima dakwaan Idris berdasarkan andaian sematamata tanpa disokong bukti konkrit.

Katanya kagagalan Idris dan pemaju mengemukakan bukti konkrit terutama pelan binaan dan serta pendapat pakar yang bertauliah dalam perbicaraan itu, tidak membenarkannya untuk membuat keputusan sama ada pemaju gagal memenuhi spesifikasi bahan berkenaan atau tidak.

Ahmad berkata pemaju telah mematuhi semua kehendak dan keperluan perjanjian jual beli kerana dalam perjanjian itu cuma disebut "batu-bata" dan bukan merujuk secara spesifik kepada jenis batu yang perlu digunakan dalam pembinaan rumah berkenaan.

"Sepatutnya penuntut (Idris) berusaha membawa dokumen (pelan binaan) kerana dokumen penting ini boleh menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku. Kalau cuma melalui katakata secara umum sahaja, susah bagi tribunal untuk menerima sama ada betul atau tidak," katanya.

Ahmad berkata berdasarkan bukti yang dikemukakan oleh jurutera tribunal, berkenaan keretakan pada rumah yang dibeli oleh Idris, tidak sampai menjejaskan keselamatan rumah berkenaan dan masih boleh diperbaiki. BERNAMA

Artikel Lain