suria

Pasangan suami isteri rakyat Filipina dalang dokumen palsu

SANDAKAN: Sepasang suami isteri rakyat Filipina ditahan awal pagi tadi kerana dipercayai menjadi dalang mengeluar dokumen palsu kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) Filipina.

Mereka ditahan di sebuah rumah setinggan di Kampung Forest di sini kira-kira 2 pagi.

Polis Gerakan Marin (PGM) turut merampas dua cop palsu Jabatan Imigresen Filipina, beberapa pasport Filipina, pas lawatan IMM 13, sijil lahir Malaysia dan MyKad.

"Lelaki berumur 45 tahun yang ditahan itu tidak memiliki dokumen pengenalan diri sementara isterinya yang berumur 59 tahun memilik kad IMM13," kata Pemangku Pegawai Pemerintah PGM Sandakan, ASP Muhammad Sallam Spawi.

"Kita mengesyaki pasangan suami isteri berkenaan terlibat dalam sindiket pengeluaran dokumen palsu terhadap PATI yang masuk secara haram ke Sabah melalui Sandakan," katanya.

Beliau berkata, dalam serbuan di sebuah lagi rumah di situ, seramai 81 PATI rakyat Filipina berusia antara tiga bulan hingga 48 tahun turut ditahan yang dipercayai baru sahaja tiba secara haram.

"Mereka dipercayai tinggal di rumah itu bagi menunggu proses membuat dokumen palsu mereka disiapkan oleh pasangan suami isteri berkenaan, sebelum mereka berpindah ke lokasi lain," kata Muhammad Sallam. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain