suria

Pegawai polis didakwa terima rasuah sindikit potong kereta

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM75,000 daripada seorang lelaki sebagai imbuhan untuk tidak mengambil tindakan terhadap abangnya yang disyaki terlibat dalam sindiket potong kereta.

Supt Abdul Karim Abu Hassan, 55, yang kini bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor didakwa menerima suapan wang tunai RM30,000 daripada Lim Kin Lan, 36, supaya tidak mengambil tindakan terhadap Lim Ching Jing, 39.

Beliau didakwa menerima wang tersebut melalui akaun Maybank Cawangan Segambut, Jalan Segambut Pusat pada 30 Mei 2007.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Abdul Karim didakwa menerima wang RM35,000 dan cek RM10,000 pada 31 Mei dan 12 Oktober 2007, melalui akaun cawangan yang sama.

Hakim Rosbiahanin Arifin menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin serta membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Ng Siew Wee dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Rosbiahanin menetapkan sebutan kes itu pada 6 Mei untuk membolehkan kes tersebut disebut semula bersama satu lagi pertuduhan lain yang dihadapi oleh Abdul Karim yang didakwa meminta rasuah RM10,000 daripada Lim Ching Jing.

Sementara itu, pembantu kedai elektronik, Soo Chong Man, 40, turut mengaku tidak bersalah terlibat dalam tiga pertuduhan menerima wang RM75,000 itu untuk mendorong Abdul Karim.

Rosbiahanin menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin, serta membenarkan kes tersebut dipindahkan ke Shah Alam untuk membolehkan ia disebut bersama kes terhadap Abdul Karim, di mana Soo menghadapi pertuduhan serupa di situ.

Peguam Jaspal Singh Mann dan Gurcharan Singh Sohan mewakili Abdul Karim, manakala C. N. Sritharan mewakili Soo. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain