suria

Rafidah bukukan pengalaman hidupnya

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz akan membukukan pengalaman serta pandangannya tentang kehidupan beliau bagi memberikan gambaran sebenar tentang diri beliau sebagai insan biasa.

Bekas Ketua Wanita Umno itu berkata, pembikinan buku dalam bahasa Inggeris itu sedang dijalankan dan dijangka diterbitkan tahun ini.

"Apa yang mendorong saya menulis buku ini ialah kerana saya selalu sangat digambarkan oleh orang sebagai imej garang, imej agresif dan imej yang mungkin berjalan selalu sehingga tak ada masa untuk rumah tangga dan susah nak beramahtamah.

"Jadi saya rasa saya nak tulis buku ini untuk menunjukkan kepada orang lain, saya ni manusia biasa, seorang wanita biasa saja, perasaan saya sama macam orang lain, pandangan saya sama macam orang lain, pengalaman saya pun hampir sama dengan ramai wanita yang lain," katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku "Imej Diri Anda Aset Anda" yang ditulis oleh bekas personaliti televisyen Sharifah Shawati Syed Mohd, di sini.

Rafidah berkata, sebagai wanita biasa, beliau kadang kala berasa sedih apabila digambarkan sebagai seorang yang agresif dan tidak mempunyai sifat-sifat kewanitaan.

"Mungkin orang tengok saya masa saya bekerja dan kerja saya pula tidak ada kaitan dengan wanita. Kerja saya ada kaitan dengan ekonomi negara, perdagangan dan industri, topik-topik itu pulak serius.

"Jadi kita takkan nak bergelak ketawa bila membincangkan soal yang serius," katanya.

Rafidah berkata, beliau tidak bercadang untuk menjadi penulis sepenuh masa walaupun berhasrat untuk menulis buku mengenai perdagangan pula selepas ini. BERNAMA

Artikel Lain