suria

Bekas Setiausaha Agung MCA akui serah letak jawatan Kabinet 21 Oktober

KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Ong Ka Chuan akhirnya mendedahkan beliau telah menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan kepada Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat selepas beliau tewas dalam perebutan jawatan timbalan presiden MCA pada 18 Oktober lalu.

Ka Chuan berkata, beliau tidak pernah merayu untuk dikekalkan dalam jawatan itu selepas surat peletakan jawatan itu diserahkan.

Beliau berkata demikian dalam satu temu bual dengan akhbar harian berbahasa Cina, Sin Chew Daily yang disiarkan pada 13 April.

Ka Chuan tidak disenaraikan dalam Kabinet baru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Saya terima kekalahan saya dengan hati terbuka dan juga hormat keputusan para perwakilan parti, jadi saya letak jawatan... saya telah menyampaikan surat peletakan jawatan kepada presiden untuk menentukan kedudukan saya pada 21 Oktober tahun lepas," Ong dipetik sebagai berkata dalam temu bual itu.

"Saya menyerahkan surat peletakan jawatan bagi memudahkan presiden menentukan kedudukan jawatan tersebut pada masa yang sesuai.

"Saya tidak berasa benci atau paksa, saya terima keputusan wakil parti," tambahnya.

Kenyataan itu sekali gus mengesahkan laporan media sebelum ini, termasuk dari Bernama bahawa Ka Chuan telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Tee Keat pada ketika itu.

Ditanya kenapa beliau menafikan laporan media pada ketika itu, Ka Chuan berkata "surat tersebut tidak disahkan sebelumnya kerana isu-isu politik di dalam negeri". BERNAMA 17/04/2149MST

Artikel Berikut

Artikel Lain