suria

Lelaki terlantar di hospital kerana minum pelarut cat didakwa

KLANG: Seorang pekerja kontrak yang sedang terlantar di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, kerana meminum pelarut cat semasa berada dalam tahanan polis minggu lepas, hari ini menghadapi tuduhan memiliki dadah jenis ganja seberat kirakira 44.55 gram.

Majistret Liew Horng Bin tiba di Bilik Infeksi, Wad 8b, HTAR kira-kira pukul 3.50 petang untuk mendengar prosiding ke atas tertuduh, Adi Anwar Mansor, 23, yang terbaring lemah memakai topeng oksigen dengan tangan kanan bergari di kepala katil.

Hakim kemudian duduk di sebelah katil tertuduh dan mengumumkan Bilik Infeksi itu sebagai mahkamah terbuka serta mengarahkan jurubahasa mahkamah membacakan pertuduhan.

Adi yang berasal dari Jalan Kebun di sini, didakwa memiliki dua bungkusan ganja seberat kirakira 44.55 gram di Perhentian Bas di tepi Jalan Kebun di sini, kira-kira 11.30 malam pada 7 April lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39 A (1) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM20,000, jika sabit kesalahan.

Sejurus pertuduhan dibacakan, Adi dengan lemah mengangguk faham dan minta dibicarakan.

Pegawai Pendakwa ASP Nasuha Ibrahim yang mewakili pihak pendakwaan mencadangkan agar tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM8,000 serta seorang penjamin.

Peguam Francis Pereira yang mewakili Adi bagaimanapun memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan dengan alasan tertuduh tidak mampu untuk membayarnya kerana hanya berpendapatan harian RM5 sejam dan merupakan penanggung tunggal kepada isteri serta seorang anak berumur tiga bulan.

Beliau juga mendakwa tindakan pihak polis memohon perintah tahanan reman selama seminggu ke atas tertuduh tidak sah di sisi undangundang kerana anggaran berat dadah yang didakwa ditemui bersama Adi adalah di bawah 50 gram.

Liew kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM3,000 dengan dua penjamin yang terdiri daripada anggota keluarga tertuduh dan mengarahkan Adi melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap Rabu dan Sabtu, antara pukul 8 pagi hingga 5 petang setelah dia selesai menjalani rawatan.

Liew juga memerintahkan tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran dalam tempoh 48 jam sekiranya dia berpindah rumah dan menetapkan 29 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan Adi bertindak nekad meminum pelarut cat semasa dalam tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang selepas ditangkap kerana memiliki dadah.

Anggota keluarga tertuduh kemudian membuat laporan polis setelah pihak hospital memaklumkan bahawa tertuduh mengalami pendarahan dalaman di kepala dan mereka mendakwa pihak polis telah memukul tertuduh selain mempersoalkan kewajaran tertuduh meminum cecair itu sedangkan pada masa kejadian tangannya bergari.

Ketua Polis Daerah Klang ACP Mohamad Mat Yusop bagaimanapun menjelaskan kepada pemberita bahawa Adi mengalami kecederaan ketika bergelut dengan anggota polis yang bertindak menahannya setelah menemui dadah itu bersamanya.

Beliau berkata, tertuduh kemudian dibawa ke IPD Klang dan semasa berada di sana, Adi yang tangannya bergari di depan kelihatan tertekan sebelum bertindak meminum pelarut cat yang digunakan untuk memadam tulisan di papan putih.

Katanya, pihak polis hanya menyedari kejadian itu selepas kurang dari 10 saat tertuduh meminumnya dan dia kemudian dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi, HTAR untuk mendapatkan rawatan. BERNAMA

Artikel Lain