suria

Mayat lelaki ditemui dalam but kereta

KUALA LUMPUR: Mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan tangan dan kakinya diikat serta mulutnya disumbat dengan kain di dalam but sebuah kereta di Jalan Gajus dekat Jalan Loke Yew di sini pagi tadi.

Mayat Shee Chin Wah, 41, yang berasal dari Segamat, Johor ditemui lengkap berpakaian oleh anggota peronda polis kira-kira pukul 2 pagi selepas terhidu bau busuk ketika membuat pemeriksaan ke atas sebuah kereta yang mencurigakan di kawasan tempat letak kereta di situ.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zulkarnain Abdul Rahman berkata mangsa dipercayai mati lebih dari dua hari dengan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada mangsa.

"Hasil pemeriksaan ke atas kereta tersebut kita berjaya mengesan pemiliknya seorang wanita di Segamat dan dipercayai isteri mangsa," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata maklumat awal mendapati mangsa telah keluar rumah pada Khamis lepas seorang diri.

Mayat mangsa di hantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat dan kes di siasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ahli keluarga mangsa turut berada di HKL.

Pada 31 Mac lepas mayat seorang wanita yang tidak dikenali turut ditemui sudah berulat dipercayai dibunuh dan diletakkan di dalam but sebuah kereta di tempat parkir di sebuah pangsapuri di Taman Serdang Perdana, Seksyen 2, Seri Kembangan.

Mayat tersebut ditemui dibungkus dengan kain cadar dan diikat di bahagian kaki, perut dan bahu serta dibungkus di luar sekali lagi dengan kain langsir. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain