suria

Shahrir sangkal dakwaan tidak sependapat dengan Najib

KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Dalam Negari Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad hari ini menolak tanggapan sesetengah pihak kononnya peletakan jawatannya dalam kabinet kerana beliau tidak bersefahaman dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"(Dakwaan) itu tidak betul...kerajaan mesti diwakili daripada pemimpin parti, jadi sesiapa saja yang duduk sebagai pemimpin parti, baru layak duduk dalam kerajaan dan keduanya, bergantung juga kepada budi bicara Perdana Menteri untuk melantik orang dia (dalam kabinet)," katanya kepada pemberita selepas melancarkan promosi Kempen Beli Barangan Malaysia di Stesen Transit Ringan di sini hari ini.

Rabu lepas Shahrir telah menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai menteri berkuatkusa 8 April setelah gagal mempertahankan jawatan anggota Majlis Tertinggi (MT) pada Perhimpunan Agung Umno bulan lepas.

Ditanya adakah beliau akan menerima apa-apa jawatan dalam kerajaan jika ditawarkan, Shahrir berkata beliau akan menimbangkan apa juga kemungkinan.

"Saya ini, ada pun tak apa, tidak ada pun tidak apa...orang seperti saya ini di dalam parti mesti sanggup terima apa pun jawatan bukan sahaja di dalam kabinet," katanya.

Shahrir berkata beliau menjangkakan ada muka-muka baru dilantik dalam kabinet yang akan diumukan oleh Perdana Menteri nanti.

"Kini kita melihat di dalam pemilihan Majlis Tertinggi adalah lebih berpihak kepada muka-muka baru dan di dalam Umno sendiri pun selepas pilihan raya umum yang lepas, turut berlaku perubahan di kalangan ketua-ketua bahagian," katanya.

Beliau menolak kemungkinan berlaku perpecahan dalam Umno sekiranya muka-muka lama digugurkan daripada kabinet.

Katanya masalah perpecahan dalam sesebuah parti disebabkan oleh sikap berkumpulan dalam parti.

"Dulu, di bawah (Tun) Dr. Mahathir Mohamad, terdapatnya (kumpulan) Tengku Razaleigh (Hamzah), (Tun) Musa Hitam, (Datuk Seri) Anwar Ibrahim tapi sekarang tidak ada (jadi) tiada potensi untuk wujudnya kumpulan menentang pucuk pimpinan," katanya.

Walaupun telah melepaskan jawatan, Shahrir berkata beliau akan terus memainkan peranan sebagai anggota Parlimen Johor Baharu.

Beliau juga adalah Ketua Umno Bahagian Johor Baharu.

Shahrir berkata beliau akan bekerjasama dengan beberapa organisasi bukan kerajaan untuk menjalankan program bagi memastikan pandangan dan aspirasi rakyat dilaksanakan.

Katanya beliau akan memulakan satu program muzik berjudul "Radio Rosak" pada 25 April selain mendapatkan seorang pemain biola mengajar anak-anak muda di Johor Baharu memainkan alat muzik itu.

Shahrir berkata beliau juga akan mendirikan pusat pemeriksaan kanser payu dara di Johor Baharu bagi membantu golongan wanita membuat pemeriksaan awal bagi mengesan penyakit itu. BERNAMA

Artikel Lain