suria

Mahathir bantu BN berkempen pilihan raya kecil

TAIPING: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dijadual membantu calon Barisan Nasional (BN) dengan berkempen di kawasan Bukit Gantang dan Bukit Selambau, Isnin ini.

Pengundian tiga pilihan raya kecil serentak berlangsung 7 April.

Salah satu lagi kerusi ialah Dewan Undangan Negeri Batang Ai, Sarawak.

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya akan mengumumkan perkara tersebut kelak.

"Kita akan mengumumkan (kehadiran Tun Dr. Mahathir) kelak," kata beliau dengan senyuman selepas mempengerusikan mesyuarat tertutup mengenai operasi kempen pilihan raya dengan Umno dan BN di sini pagi ini.

Malam tadi, Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir ketika berkempen di sini berkata, ayahnya akan "turun gelanggang" bagi meraih sokongan Isnin ini.

Dalam pada itu, Ketua Umno Bahagian Bukit Gantang, Datuk Rosli Hussin dan Ketua Penerangan Kerajaan Negeri Perak, Datuk Hamdi Abu Bakar juga mengesahkan kehadiran Dr. Mahathir.

"Mahathir sendiri menawarkan diri untuk membantu calon BN... sebenarnya kami tidak mengundang, beliau sendiri yang mahu membantu," kata beliau yang menyifatkan sebagai perkembangan positif.

Ini kali pertama Dr. Mahathir membantu BN berkempen dalam mana-mana pilihan raya kecil.

Dalam dua pilihan raya kecil yang diadakan sebelum ini - Parlimen Permatang Pauh dan Kuala Terengganu - yang diadakan selepas Dr. Mahathir keluar Umno, beliau tidak membantu berkempen.

Bagaimanapun Dr. Mahathir hadir pada hari terakhir Perhimpunan Agung Umno Sabtu lalu di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Kira-kira empat bulan selepas keluar Umno, Dr. Mahathir menyatakan kesediaan untuk kembali sertai parti itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain