suria

Inspektor polis diserang pengedar dadah

SEREMBAN: Seorang pegawai polis menembak seorang pengedar dadah yang menyerangnya dalam operasi mencegah dadah di pekan Pasar Besar, Gemas semalam.

Tembakan tersebut mengenai paha pengedar berkenaan.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh berkata dalam kejadian 6.45 petang itu, Inspektor Rudy Faizan dari Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Tampin telah diserang tiga lelaki yang dipercayai pengedar dadah yang bersenjatakan kayu.

"Rudy datang dengan satu pasukan polis yang berpecah untuk mengepung kawasan itu. Rudy kemudiannya berjaya mengesan suspek yang dikehendaki dan mahu menahannya.

"Tetapi dua rakan suspek menghalang Rudy dengan menyerangnya bertubitubi dengan kayu. Rudy yang memakai topi keledar cedera di tangan dan bertindak menyelamatan diri.

"Tiga lelaki berkenaan mengejar Rudy sehingga ke sebatang jalan raya. Selepas menyeberangi jalan, pegawai saya itu terpaksa melepaskan tembakan bagi mempertahankan diri dan mengena paha suspek," kata Osman.

Melihat keadaan itu, dua lagi rakan suspek melarikan diri, katanya. BERNAMA

Artikel Lain