suria

Shahrizat, Khairy, Rosnah dipilih ketua baru

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil,Khairy Jamaluddin, dan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dpilih sebagai ketua baru tiga sayap Umno semalam.

Shahrizat yang juga penasihat khas Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Wanita Islam dan Pembangunan Sosial dipilih sebagai ketua baru bagi sayap Wanita.

Beliau menewaskan penyandangnya, Tan Sri Rafidah Aziz.

Keputusan rasmi menunjukkan beliau memperolehi 507 undi berbanding pencabarnya, Rafidah yang memperoleh 280 undi.

Manakala, Khairy yang juga ahli Parlimen Rembau menang dalam persaingan tiga penjuru merebut jawatan Ketua Pemuda parti itu.

Ia adalah satu keputusan yang mengejutkan dalam perebutan jawatan nombor satu pergerakan itu apabila Khairy yang mendapat jumlah pencalonan paling rendah muncul sebagai juara di akhir pertandingan.

Beliau memperoleh 304 undi menewaskan Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo (254 undi) dan Datuk Mukhriz Tun Mahathir (232 undi) selepas 793 anggota perwakilan membuat pemilihan mereka semalam.

Mukhriz dan Dr Mohamad Khir merupakan calon pilihan sejak dari hari pertama peringkat bahagian membuat pencalonan apabila mereka saling bertukar kedudukan tempat pertama dan kedua semasa kempen enam bulan sehinggalah pada saat-saat akhir.

Jawatan Naib Ketua, dimenangi oleh ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim yang juga Ketua Pemuda Johor. Beliau memperoleh 417 undi menewaskan Datuk Reezal Merican Naina Merican.

Sementara itu, Datuk Rosnah Abdul Rashid diberi mandat perwakilan Puteri Umno sebagai peneraju baru pergerakan itu pada pemilihan kali ini, yang menyaksikan jawatan itu dipertandingkan buat julung kalinya.

Dengan mendapat undi sebanyak 245 undi daripada 779 perwakilan, Rosnah yang melepaskan jawatan sebagai Naib Ketua, mengenepikan saingan lima calon lain

Mereka adalah Datin Ismalina Ismail (59 undi), Shahaniza Shamsuddin (239 undi), Ida Rahayu Md Noor (146 undi), Saarah Ali Bashah (3 undi)dan Bibi Sharliza Mohd Khalid (86 undi).

Bagi jawatan Naib Ketua pula, Shahanim Mohamad Yusoff dipilih mengisi jawatan itu selepas meraih 353 undi daripada perwakilan.

Beliau mengatasi tiga calon lain iaitu Nolee Ashilin Mohammed Radzi (255 undi), Nordiana Shafie (75 undi) dan Haslinda Mohd Zerain (94 undi).

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain