suria

Ali Rustam terima keputusan, akan rayu hari ini

[DIKEMAS KINI] MELAKA: Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata beliau menerima keputusan yang dibuat oleh Lembaga Disiplin Umno yang melucutkan kelayakannya bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan parti minggu depan.

Beliau bagaimanapun menafikan melakukan apa-apa kesalahan dan akan mengemukakan rayuan hari ini.

"Surat rayuan itu akan diserahkan pada hari ini," katanya kepada pemberita di kediamannya Seri Bendahara di sini hari ini.

Sidang akhbar itu turut dihadiri isteri Datin Seri Asmah Abdul Rahman, pemimpin Umno Melaka serta penyokongnya.

Semalam, Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail mengumumkan bahawa Mohd Ali dilarang daripada bertanding pada pemilihan parti setelah beliau didapati melakukan kesalahan mengikut Perkara 10.1 tataetika ahli Umno, yang melibatkan politik wang.

Ditanya mengenai perasaan beliau berhubung hukuman yang dikenakan terhadapnya, Mohd Ali berkata: "Saya telah tegaskan kepada Jawatankuasa Lembaga Disiplin bahawa saya tidak bersalah tetapi jawatankuasa mendapati saya bersalah, jadi saya terima dengan hati terbuka".

Mengenai keputusan berbeza yang dihadapinya dengan calon Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin walaupun kedua-dua mereka yang didapati bersalah berhubung perkara sama, Mohd Ali berkata beliau tidak perlu membanding kerana cara keputusan berbeza-beza dan sebab juga berbeza.

"Keputusan Lembaga Disiplin itu, saya terima selepas balik dari Ipoh semalam. Saya tidak menjangkakan (hukuman) tetapi saya terima dengan hati terbuka," katanya.

Ditanya sama ada terdapat konspirasi mana-mana pihak atas sabitan beliau, katanya beliau tidak berfikir begitu.

Jelasnya lagi, walaupun dilarang daripada bertanding beliau tetap akan menghadiri Perhimpunan Agung Umno dan akan terus bekerja untuk kebaikan Umno.

"Saya sebagai orang parti akan terus berkorban untuk parti saya apa saja, jiwa atau raga," katanya sambil menerima tepukan daripada penyokongnya.

Bagaimanapun kedudukannya sebagai ahli dalam parti tidak terjejas dan beliau kekal sebagai Naib Presiden.

Mengenai kenyataan Najib bahawa beliau akan terus menjalankan tugas sebagai Ketua Menteri Melaka, Mohd Ali mengucapkan terima kasih kerana beliau masih lagi dibenarkan berkhidmat sebagai Ketua Menteri Melaka.

"Saya juga akan menjalankan tugas parti dan kerajaan seperti biasa. Keputusan ini tidak akan menjejaskan saya untuk membangunkan negeri Melaka," katanya.

Ditanya nasihat beliau kepada penyokongnya, Mohd Ali memohon maaf kepada mereka yang telah memberi sokongan dengan susah payah yang akhirnya mereka tidak dapat menunaikan hasrat untuk mengundi beliau pada pemilihan kali ini.

"Saya berharap mereka bertenang, kita kini kena pertahankan parti kita yang sedang menghadapi banyak cabaran. Kita juga ingin melihat supaya proses peralihan kuasa kepada Datuk Seri Mohd Najib akan berjalan dengan baik pada hujung bulan ini atau awal bulan depan," katanya.

Juga didapati bersalah dalam tuduhan yang sama ialah Naib Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin yang bertanding bagi jawatan Ketua Pemuda.

Calon lain bagi jawatan itu ialah Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo yang juga disiasat oleh lembaga itu kerana didakwa terlibat dengan politik wang namun didapati tidak bersalah.

Ditanya sama ada keputusan yang dihadapi beliau itu akan dijadikan isu oleh pembangkang, Mohd Ali berkata beliau akan menjawab apa juga isu yang ditimbulkan oleh pembangkang terhadapnya.

Artikel Lain