suria

Polis tembak mati 5 perompak warga Vietnam

PULAU PINANG: Lima lelaki bersenjata, dipercayai warga Vietnam yang terbabit dengan kes rompakan, ditembak mati dalam kejadian berbalas tembak dengan polis di Km15.7 Lebuh Raya Butterworth-Kulim (BKE) di sini awal hari ini.

Ketua polis negeri, Datuk Wira Ayub Yaakob berkata, mereka antara lapan lelaki yang disyaki merompak 11 rakyat Vietnam di sebuah asrama pekerja di Taman Perak, Kulim, Kedah dan cuba melarikan diri ke Seberang Jaya dengan menaiki dua kereta.

Kata beliau, lima lelaki berkenaan, yang menaiki sebuah kereta Perodua Kenari berwarna perak, melepaskan tembakan ke arah polis apabila ditahan di BKE pada 3.10 pagi hingga menyebabkan cermin belakang kereta peronda polis pecah.

"Bagi mempertahankan diri, polis melepaskan beberapa das tembakan ke arah kereta mereka dan membunuh kelimalima lelaki berkenaan," kata beliau kepada pemberita selepas majlis pelepasan peserta pertandingan memburu harta karun Rakan Kop di ibu pejabat polis Pulau Pinang di sini.

Ayub berkata, setelah menerima maklumat daripada rakan sejawatan mereka di Kulim, sepasukan lima anggota polis terserempak dengan penjenayah terbabit di kawasan rehat dan rawat Penanti, tetapi lelaki berkenaan memecut kereta mereka apabila menyedari kehadiran polis. Bagaimanapun, kata beliau, sepasukan polis lagi berjaya menahan kereta mereka di Km15.7 BKE.

"Sepucuk pistol, sebutir peluru hidup, dua topeng ski, 11 parang, satu alat pemotong logam dan sebatang besi pengumpil dijumpai dalam kereta berkenaan yang menggunakan nombor pendaftaran palsu," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kereta itu dilaporkan hilang pada 20 Oktober lalu.

Ayub berkata, mayat kelima-lima lelaki itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya.

Katanya polis Pulau Pinang akan membantu rakan sejawatan mereka di Kulim bagi menjejaki tiga lelaki yang melepaskan diri dengan sebuah kereta lain.

Ayub berkata, polis negeri ini telah melancarkan operasi khas dikenali sebagai "Ops Rantau" bagi memantau kes jenayah melibatkan rakyat asing, terutama dari Vietnam, yang mungkin kehilangan pekerjaan apabila kilang mengurangkan kos operasi berikutan kemelesetan ekonomi. BERNAMA

Artikel Lain