suria

Isu lembu: Ahmad Said sedia beri kerjasama penuh

KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Said Hamdan berkata, beliau sedia memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis berhubung kenyataannya sebelum ini mengenai Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Ahmad Said berkata, tiada apa yang perlu ditakuti atau disembunyikannya berhubung perkara itu dan beliau akan sentiasa memberikan kerjasama penuh kepada pegawai penyiasat.

"Saya bersedia dan sanggup kenyataan saya direkodkan pada setiap masa yang diperlukan," katanya.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob dilaporkan berkata, pihaknya akan menyiasat Ahmad Said berikutan 12 laporan yang dibuat terhadap beliau di seluruh negara.

Laporan-laporan itu dibuat berikutan kenyataan Ahmad Said dalam satu sidang media di Pulau Pinang 20 Februari lalu yang menyatakan SPRM mempunyai keterangan dan bukti kukuh untuk mendakwa Khalid atas salah guna kuasa berhubung penyelenggaraan kereta peribadi serta pembelian 46 lembu korban.

Ayub berkata, siasatan ke atas Ahmad Said akan dimulakan selepas polis mendapat pengesahan dari pejabat timbalan pendakwa raya.

Katanya, siasatan tersebut dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah.

Artikel Sebelum

Artikel Lain