suria

Ibrahim Ali pertimbang tawaran sertai Umno

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali berkata, beliau akan mempertimbang pelawaan Umno untuk menyertai parti itu kembali dengan syarat Umno sedia menerima beliau sebagai seorang yang lantang dalam menyuarakan pandangan.

Ibrahim yang merupakan ahli Parlimen Bebas berkata, beliau amat menghargai pelawaan daripada Umno namun pada masa ini, beliau sedang memikirkan banyak perkara termasuk mendapatkan maklum balas daripada penyokong-penyokong di kawasannya.

"Kalau terima saya, terimalah kelantangan saya selagi saya tidak melanggar disiplin tetapi kalau saya ada kes rasuah atau menjejaskan parti, sila buang saya secepat mungkin tapi jangan buang saya kerana kelantangan saya.

"Perjuangan saya adalah untuk bangsa dan negara, jadi jangan usik saya dalam bab ini. Kalau ini boleh diterima, saya akan fikir masak-masak," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Semalam, Umno Kelantan menyatakan kesediaan parti itu untuk menerima Ibrahim sekiranya beliau mahu kembali kepada Umno itu.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, Umno bukanlah satu parti yang asing baginya kerana beliau pernah menganggotai Umno sebelum ini termasuk menjadi ahli Majlis Tertinggi (MT) selama enam tahun dan menjadi Ketua Bahagian selama 12 tahun.

"Cuma dulu saya digugur sebagai ketua penaja tanpa sebab yang saya sendiri tidak tahu. Mereka kena ingat yang saya ini memang seorang yang semula jadi lantang sejak menjadi pemimpin pelajar lagi dan hal ini nampaknya menjadi masalah kepada banyak pihak," katanya.

Ibrahim berkata, beliau tidak mahu pisang berbuah dua kali seperti yang berlaku antara beliau dan parti PAS di Kelantan pada pilihan raya umum 2004.

Katanya, PAS pada masa itu mahu bekerjasama dengan beliau apabila parti itu berada dalam keadaan kritikal kerana hanya memenangi majoriti yang tipis.

"Mereka mahu bekerjasama dengan saya dan menggunakan saya kerana mereka takut kalah dalam pilihan raya 2008 dan mereka juga kalah dalam pilihan raya kecil Pengkalan Pasir. Pada masa itu, mereka terima saya walaupun mereka tahu saya lantang.

"Tapi sekarang apabila saya lantang, mereka marah pula. Saya tidak mahu perkara itu berulang lagi jika saya masuk ke dalam Umno...kasihanlah dekat saya," katanya.

Ibrahim berkata, beliau juga tidak pernah merajuk dengan mana-mana parti kerana beliau adalah seorang yang sedia dikritik dan bersikap sangat terbuka.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain