suria

Calon Bukit Gantang: Nizar serah Pakatan putuskan

PETALING JAYA: Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, walaupun namanya disebut-sebut untuk bertanding bagi kerusi pilihan raya kecil Bukit Gantang, namun beliau menyerahkan kepada Pakatan Rakyat untuk menentukan calon yang sesuai.

Beliau berkata, setakat ini, masih belum ada sebarang mesyuarat untuk membincangkan tentang pilihan raya kecil itu yang akan diadakan berikutan kematian Ahli Parlimennya, Roslan Shaharum dari PAS akibat serangan jantung, Isnin lalu.

"Belum tahu lagi. Kita masih belum membincangkannya. Tentang calon itu, terpulang kepada Pakatan Rakyat untuk menentukannya," katanya ketika dihubungi mStar Online hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mursyidul Am PAS semalam, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang tidak bersetuju dengan cadangan DAP agar Mohammad Nizar diberi peluang bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang nanti.

Beliau berkata, selagi Mohammad Nizar masih dianggap oleh Pakatan Rakyat sebagai Menteri Besar Perak, adalah tidak sesuai Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak itu dicalonkan bertanding untuk kerusi Parlimen itu.

Ketika ditanya sama ada beliau menyimpan hasrat untuk bertanding kerusi Parlimen itu, Mohammad Nizar berkata, beliau tidak memikirkan mengenai perkara itu kerana sibuk menguruskan kes perundangan berhubung memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Ipoh bagi mengisytiharkan pelantikan Menteri Besar baru, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dari Barisan Nasional (BN) sebagai tidak sah.

"Hari ini saya sibuk menguruskan hal ini. Saya akan failkannya sama ada petang ini atau esok," katanya.

Berhubung kediaman rasmi Menteri Besar yang masih didiaminya sehingga hari ini, Nizar berkata beliau akan terus tinggal di situ malah kediaman itu juga akan beroperasi sebagai pejabat rasmi termasuk mengadakan mesyuarat 'exco' mingguan dan perjumpaan bersama rakyat.

"Saya akan meneruskan mesyuarat exco setiap minggu seperti biasa dan sesiapa yang ingin berjumpa saya, mereka boleh datang ke situ.

"Setakat hari ini, tiada arahan daripada pihak berkuasa yang meminta saya mengosongkan kediaman itu bahkan mereka menjaga keselamatan saya dengan memantau kawasan itu setiap masa," katanya.

Sehingga hari ini, Mohammad Nizar masih mempertahankan bahawa beliau masih Menteri Besar Perak dan berkata, pelantikan Zambry sebagai Menteri Besar dibuat tanpa mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

ADUN Bukit Selambau pula "hilang"

Artikel Lain