suria

Umno Bukit Gantang perlu akur pucuk pimpinan

IPOH: Umno Bukit Gantang berhak menyuarakan cadangan tetapi mereka tidak boleh mengugut pucuk pimpinan parti yang akan memutuskan calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator T. Murugiah yang juga bekas Ketua Pemuda Parti Progresif Penduduk (PPP) berkata seperti parti komponen lain, Umno bahagian itu perlu menghormati keputusan pucuk pimpinan.

"Umno Bukit Gantang kena akur pucuk pimpinan...mereka berhak beri pandangan tapi jangan ugut," kata beliau mengulas pendirian Umno Bukit Gantang yang mahu anak tempatan dan wakil Umno sebagai calon pilihan raya kecil kawasan itu ketika ditemui pemberita di Pejabat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) di sini hari ini.

Semalam, Ketua Umno Bukit Gantang Datuk Rosli Husin menegaskan Umno bahagian itu "tidak akan kompromi" dengan calon luar selepas parti itu memberikan laluan kepada parti komponen BN meletakkan calon mereka, sejak 23 tahun lepas.

Pilihan raya kecil itu diadakan ekoran kematian anggota parlimen Bukit Gantang, Roslan Shaharum, daripada PAS pada Isnin lepas akibat serangan jantung.

Mengulas lanjut, T.Murugiah yang juga anak kelahiran Trong berkata Presiden PPP Datuk M. Kayveas telah melantiknya sebagai pengarah pilihan raya kecil PPP bagi kawasan itu.

"Kita akan buka tiga bilik gerakan di DUN Trong, Changkat Jering dan Kuala Sepetang, Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Bukit Gantang.

"Kita akan gerakkan lebih 500 anggota parti dari seluruh negeri," katanya.

Beliau juga optimis BN akan merampas kembali kerusi Parlimen itu ekoran pertukaran pucuk pimpinan negeri yang kini beralih daripada Pakatan Rakyat (PR) kepada BN diterajui Menteri Besar Datuk Dr Zambry Abdul Kadir.

Pada pilihan raya umum 8 Mac lepas Allahyarham Roslan menewaskan calon BN, Datuk Seri Azim Mohd Zabidi yang juga Bendahari Umno dan calon bebas, M. Murganan, dengan majoriti 1,566 undi. BERNAMA

Artikel Sebelum

Ulama bantah penganjuran Musawah

Artikel Berikut

Artikel Lain