suria

Jamaluddin stres Osman sakit jantung, mahkamah keluar waran tangkap

[DIKEMAS KINI] PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jering, Kapten (B) Mohd. Osman Jailu dimasukkan ke hospital dan gagal hadir pada perbicaraan kes rasuah yang dijadualkan hari ini.

selain Mohd Osman, ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi juga tidak hadir kerana turut mengalami masalah kesihatan.

Jamaluddin berkata beliau telah dimaklumkan bahawa Osman dimasukkan ke hospital kerana masalah jantung.

Bagaimanapun beliau enggan menyatakan nama hospital Osman dirawat.

"Saya difahamkan keadaannya tidak serius dan mungkin akan keluar dalam sehari dua ini," katanya ketika dihubungi.

Ekoran itu, Majistret Sharmila mengeluarkan perintah waran tangkap terhadap Mohd Osman kerana gagal mengemukakan sijil cuti sakit dari hospital dan menetapkan 13 April depan sebagai sebutan semula kes waran tangkap itu.

Adik Mohd Osman, Noriza Jailu sebagai penjamin beliau, memaklumkan mahkamah bahawa tertuduh tidak dapat hadir kerana telah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur malam semalam kerana masalah jantung.

"Belum dapat MC sebab doktor masih membuat observation," kata Noriza.

Sementara itu lapor BERNAMA Perbicaraan yang dijadualkan selama tiga hari bermula hari ini terpaksa ditangguhkan ke 15 Jun depan kerana Hakim Mahkamah Sesyen, Tan Hooi Leng menghadiri seminar sehingga esok dan kes itu kemudian didengar di hadapan Majistret Sharmila Abdul Samad.

Jamaluddin berkata beliau juga kurang sihat pada hari ini.

"Sejak dua tiga hari yang lalu, saya sakit kepala mungkin kerana stres dengan tekanan daripada perkembangan politik semasa.

"Saya pun memang sakit pinggang dan tidak mendapatkan rawatan," katanya.

Selain Osman, mahkamah turut mengeluarkan waran tangkat terhadap ahli perniagaan Usaili Alias.

Bagaimanapun perintah itu dibatalkan setelah tertuduh hadir kira-kira sejam kemudian.

Beliau menjelaskan tersalah faham mengenai waktu prosiding dijalankan dan menyangka kes itu akan disebut pada sebelah petang kerana beranggapan dua bekas exco itu, Mohd Osman dan Jamaluddin, akan hadir ke Istana Iskandariah untuk majlis angkat sumpah barisan exco baru kerajaan negeri itu pagi ini.

Sementara itu menurut peguam Jamaluddin, Abdul Roni Rahman bahawa anak guamnya tidak dapat hadir kerana menghadapi masalah kesihatan dan surat sakit juga telah dikemukakan kepada pihak mahkamah.

Mohd Osman, Jamaluddin, Usaili dan dua orang lagi iaitu, juruteknik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) Ruslan Sahat dan bekas anggota Majlis Daerah Perak Tengah, Zul bin Hassan menghadapi 16 pertuduhan menerima dan meminta rasuah berkaitan satu projek iaitu cadangan membangunkan tanah seluas 36.42 hektar bernilai RM180 juta di kawasan pusat bandar Seri Iskandar dekat sini secara usahasama dengan Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT).

Zul juga didakwa menerima rasuah seorang perempuan bagi tujuan mengadakan hubungan seks pada 8.10 malam 14 Ogos lepas di Sri Sayang Apartment di Pulau Pinang.

Dalam prosiding hari ini, peguambela Mohd Asri Othman memaklumkan mahkamah beliau ingin menarik diri daripada mewakili Mohd Osman dan Jamaluddin atas alasan tidak mendapat apa-apa arahan daripada kedua-dua tertuduh.

Mohd Osman dan Jamaluddin kini diwakili peguambela Abdul Roni, sementara Usaili, Ruslan dan Zul masih diwakili oleh Mohd Asri.

Osman dan Jamaluddin sebelum ini merupakan ADUN Parti Keadilan Rakyat (PKR) namun mengumumkan untuk keluar daripada parti itu minggu lalu menjadi wakil rakyat bebas dan menyokong Barisan Nasional (BN).

Selain itu, ADUN Jelapang, Hee Yit Fong daripada DAP turut mengumumkan keluar parti dan menyokong BN.

Pada masa yang sama, ADUN Bota, Datuk Nasarudin Hashim bertindak keluar PKR dan kembali ke pangkuan Umno, sekali gus menyebabkan Pakatan Rakyat kehilangan majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dan BN kembali menguasai negeri itu.

Dalam pada itu, Osman dan Jamaluddin dilaporkan turut tidak kelihatan di majlis mengangkat sumpah barisan Exco baru Perak yang berlangsung di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar, pukul 10 pagi tadi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain