suria

Tindakan tegas jika berdemonstrasi di Perak

KUALA LUMPUR: Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang mengadakan atau terlibat dengan perhimpunan atau demonstrasi yang bertentangan dengan undangundang, ekoran suasana politik di Perak sekarang.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata polis menerima maklumat bahawa terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab yang menyebarkan khabar angin melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan sebagainya, mengajak orang ramai berkumpul bagi mengadakan perhimpunan atau berdemonstrasi.

"Pihak polis tidak akan membenarkan sebarang aktiviti tersebut yang bertentangan dengan peruntukan undang-undang negara yang sedia ada. Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung kerana perbuatan sebegitu boleh menggugat suasana ketenteraman semasa," katanya dalam satu kenyataan.

Ismail menasihati orang ramai supaya tidak bertindak mengikut perasaan tetapi perlu bersikap bertanggungjawab, menghormati serta menyanjung keluhuran undang-undang negara.

Setakat ini keadaan di Perak adalah selamat dan terkawal dengan pihak polis sentiasa memantau keadaan agar situasi terus kekal aman dan damai, katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain