suria

Najib nafi BN terajui Perak guna cara tidak sah

PETALING JAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan persepsi sesetengah pihak bahawa Barisan Nasional (BN) mengambil alih kerajaan negeri Perak menggunakan kaedah bertentangan dengan perlembagaan negeri.

Beliau berkata, tindakan BN mengikut perlembagaan dan Sultan Perak turut bertindak dalam bidang kuasanya di bawah peruntukan perlembagaan.

"Apa yang kita lakukan mengikut perlembagaan. Tidak ada yang tidak mengikut perlembagaan," katanya.

Beliau berkata, Pakatan sebelum ini telah memulakan dahulu prinsip untuk mengambil alih kerajaan pusat dengan cara berhasrat untuk 'mencuri' 31 wakil rakyat BN.

"Tolong tanya Pakatan Rakyat, kenapa mereka mulakan perkara ini yang mereka uar-uarkan nak tubuhkan kerajaan pada 16 September?

"Maknanya prinsip ini yang telah disebut-sebut Pakatan Rakyat sebagai satu prinsip yang mereka terima dan telah cuba amalkan.

"Jadi siapa yang mulakan prinsip ini? Bukan BN tapi mereka," katanya selepas merasmikan sambutan Hari Kastam Sedunia Ke-37 di sini, hari ini.

Berhubung tindakan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang dilihat menderhaka kepada Sultan Perak berikutan keenggannnya meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar, Najib berkata, apa yang dititahkan tidak boleh diingkari dan mesti dihormati.

"Kita mesti menghormati keputusan Sultan dan apa-apa yang Tuanku putuskan kerana sebagai bekas Ketua Hakim Negara, sudah tentu Tuanku amat memahami peranannya sebagai Raja Berperlembagaan.

"Jadi, tidak ada sesiapa patut mencabar keputusan Tuanku kerana itu bererti kita mencabar institusi Raja Berperlembagaan," katanya.

Sehingga hari ini, Nizar masih enggan meletakkan jawatannya kerana menyifatkan beliau masih Menteri Besar yang sah di bawah Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

Berhubung perhimpunan haram ribuan penyokong Pakatan semalam di hadapan Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar kerana membantah majlis mengangkat sumpah Menteri Besar baru, Najib berkata, hal itu tidak seharusnya berlaku.

"BN pun boleh buat macam itu kerana kita banyak penyokong tapi kita menghormati undang-undang dan budaya.

"Kita tidak boleh tunjuk perasaan di jalanan seperti ini kerana kita pentingkan keamanan dan keharmonian negara," katanya.

Ditanya kemungkinan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri Bebas yang menyatakan sokongan kepada BN kembali kepada Pakatan Rakyat, Najib berkata:

"Mengapa anda suka membuat spekulasi. Perkara itu tidak mungkin terjadi dan jika ia berlaku, saya akan jawab."

Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Kapt (B) Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Fong (Jelapang) telah mengumumkan keluar pakatan itu dan menjadi ADUN Bebas serta menyatakan sokongan kepada BN.

Mengenai pemilihan barisan Rxco yang boleh mewakili masyarakat kaum India memandangkan kesemua 28 ADUN Perak hanyalah wakil dari Umno dan MCA, beliau berkata, perkara itu akan diumumkannya kelak.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain