suria

Upacara angkat sumpah MB Perak baru petang ini

PETALING JAYA: Upacara mengangkat sumpah Menteri Besar baru, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir di hadapan Sultan Perak, sultan Azlan Shah akan diadakan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada 3.30 petang ini.

Beliau yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor semalam diumumkan sebagai Menteri Besar Perak yang baru oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Pelantikan beliau itu telah mendapat perkenan daripada Sultan Perak, semalam

Sementara itu, upacara mengangkat sumpah Exco pula akan diadakan pada 10 Feb pukul 10 pagi di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Semalam, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah tidak berkenan untuk membubarkan DUN dan menitahkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar.

Sementara itu, Zambry semalam berjanji akan mengembalikan ketenangan dan keharmonian kepada rakyat negeri Perak.

Beliau, yang menjunjung kasih kepada Sultan Perak kerana memberi perkenan dan kepercayaan untuk beliau dilantik sebagai Menteri Besar yang baru, menganggap tanggungjawab itu sebagai satu amanah yang harus dipikul dengan sifat kepimpinan yang baik.

"Saya akan lakukan amanah ini dengan sebaik-baiknya. Saya turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Perak serta rakan-rakan terhadap sokongan yang diberikan," katanya di sini malam tadi.

Zambry berkata, dengan perlantikan beliau yang diperkenankan Sultan Azlan Shah, berharap ia tidak akan menimbulkan suasana dan isu yang tidak baik.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain