suria

BN disokong 3 ADUN Bebas, boleh tubuh kerajaan - Najib

DATUK Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak berbual dengan gembira bersama Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika berada di Ibu Pejabat Umno Perak pagi tadi. - foto The Star oleh SAIFUL BAHRI
DATUK Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak berbual dengan gembira bersama Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika berada di Ibu Pejabat Umno Perak pagi tadi. - foto The Star oleh SAIFUL BAHRI
DATUK Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak berbual dengan gembira bersama Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika berada di Ibu Pejabat Umno Perak pagi tadi. - foto The Star oleh SAIFUL BAHRI

[DIKEMAS KINI, 2 PETANG] PETALING JAYA: Kesemua 28 Ahli Undangan Negeri (ADUN) Perak serta tiga ADUN Bebas hari ini menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah untuk membuat pengakuan yang mereka menyokong Barisan Nasional (BN).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kesemua mereka turut memberi pengakuan menyokong calon Menteri Besar Perak yang akan dikemukakan oleh BN.

"Tuanku dijangka akan membuat keputusan sama ada bubar Dewan Undangan Negeri Perak atau meminta Menteri Besar Datuk Mohammad Nizar Jamaluddin meletak jawatan dengan secepat mungkin," katanya pada sidang akhbar di Ipoh tengah hari ini selepas menghadap Sultan Perak dua kali di Istana Kinta di sini.

Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional Perak, pada pukul 9.50 pagi bersama Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah menghadap Sultan Perak untuk meminta perkenan baginda agar BN mengambil alih pentadbiran negeri.

Ini berikutan tindakan empat wakil rakyat daripada Pakatan Rakyat meninggalkan parti masing-masing semalam untuk menyokong dan memberikan majoriti kepada BN bagi membentuk kerajaan negeri.

BN kini menunggu keputusan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah berhubung peluang bagi perikatan itu untuk menubuhkan kerajaan negeri yang baru.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin juga diminta menghadap Sultan Perak selepas baginda menerima kunjungan Najib.

Nizar tiba di Istana Kinta pukul 12.45 tengah hari dan keluar 20 minit kemudian.

Perkembangan ini berlaku sehari selepas empat ADUN menyatakan sokongan kepada BN.

Najib berkata, Sultan Perak akan memberikan keputusan tersebut bila-bila masa dari sekarang selepas kesemua 31 ADUN termasuk tiga wakil Bebas menghadap Sultan Perak pagi tadi.

Najib mengumumkan demikian pada sidang media di Bangunan Umno di Ipoh sebentar tadi.

Sidang media 10 minit itu diadakan susulan dua kunjungan Najib ke Istana Kinta untuk mengadap Sultan Perak.

Najib tiba di Istana Kinta pada pukul 9.55 pagi dan kali kedua pukul 10.55 pagi.

BERITA TERDAHULU

Najib, MB Perak mengadap Sultan Perak

Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak berada di Istana Kinta, Ipoh dua kali hari ini - antara 9.50 dan 11.30 pagi untuk mengadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah dipercayai bagi memaklumkan secara rasmi Barisan Nasional (BN) mempunyai sokongan menubuhkan kerajaan baru.

Selepas dua pertemuan itu, Menteri Besar Perak pula dipanggil mengadap Sultan Perak sebentar tadi.

Najib, Pengerusi BN Perak tiba di Istana Kinta pukul 9.50 pagi tadi dan keluar 30 minit kemudian.

Beliau meninggalkan istana pada 10.35 pagi, dan sambil tersenyum, melambaikan tangan kepada wartawan tanpa berhenti di pintu masuk istana.

Beliau kembali semula ke Istana Kinta dengan empat wakil rakyat yang keluar Pakatan Rakyat semalam - ADUN kawasan Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi; Mohd Osman Jailu (Changkat Jering), Hee Yit Foong (Jelapang) dan Datuk Nasaruddin Hashim (Bota) untuk mengadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah pukul 10.55 pagi ini.

Najib, Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Pengerusi BN dijadual mengadakan sidang media pukul 12.30 tengah hari ini.

Turut menyertai Najib di Istana Kinta di Ipoh ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang merupakan Timbalan Pengerusi BN Negeri.

Pertemuan itu diadakan sehari selepas empat wakil rakyat daripada Pakatan Rakyat meninggalkan parti masingmasing untuk menyokong dan memberikan majoriti kepada BN bagi membentuk kerajaan negeri.

Semalam Jamaluddin, Mohd. Osman, Hee dan Nasarudin menyatakan sokongan kepada BN.

Jamaluddin, Mohd. Osman dan Hee mengumumkan menjadi wakil rakyat Bebas tetapi menyokong BN.

Ketiga-tiga mereka bersama Nasaruddin turut berada di sisi Najib semalam ketika Timbalan Perdana Menteri mengadakan sidang akhbar di Putrajaya untuk membuat pengumuman mengenai sokongan mereka kepada BN.

Berikutan perkembangan terkini, BN dan Pakatan masing-masing mempunyai 28 kerusi tetapi BN boleh menubuhkan kerajaan negeri kerana ketigatiga wakil rakyat Bebas itu telah menyatakan sokongan kepada BN termasuk dalam soal pelantikan Menteri Besar.

BERITA TERDAHULU

PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) Perak, diketuai Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak, mengadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah hari ini bagi memaklumkan secara rasmi bahawa perikatan itu mempunyai sokongan diperlukan untuk menubuhkan kerajaan baru.

Sultan Perak dijangka mempertimbangkan dua pilihan iaitu memberikan peluang kepada BN membentuk kerajaan ataupun membolehken Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

Pucuk pimpinan BN belum memikirkan mengenai calon Menteri Besar yang baru jika diberikan peluang memerintah.

BN Perak yang kini mempunyai cukup bilangan kerusi untuk membentuk kerajaan baru selepas empat ADUN Pakatan Rakyat meninggalkan parti masing-masing.

Mengikut undang-undang tubuh negeri, sekiranya pilihan raya negeri tidak diadakan, penubuhan kerajaan negeri baru boleh berlaku melalui dua cara.

Pertamanya, melalui undi tidak percaya terhadap Menteri Besar pada persidangan DUN dan cara kedua ialah Sultan memberi perkenan kepada pelantikan Menteri Besar yang baru dari kalangan anggota yang dipercayai baginda mendapat kepercayaan sebahagian besar anggota dewan.

BN KE ISTANA

Setiausaha Umno Perak, Datuk Ramly Zahary berkata, kesemua 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan tiga wakil rakyat Bebas yang menyatakan sokongan kepada BN jika membentuk kerajaan, akan turut serta dalam pertemuan itu.

"BN Perak akan mengadap Sultan Perak esok (hari ini), tapi kita belum pasti lagi bila masanya kerana masih menunggu isyarat daripada pihak istana," katanya.

Pertemuan tersebut akan diketuai Pengerusi BN Perak yang baru, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

NIZAR YAKIN

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yakin sebarang keputusan yang perkenankan oleh Sultan Perak Sultan Azlan Shah dalam menangani kemelut politik di negeri ini dibuat dengan adil.

"Saya yakin keputusan yang dibuat nanti cukup adil kepada rakyat di negeri Perak dan adil kepada partiparti politik, dan kita tidak akan meragui sebarang keputusan yang dibuat oleh Sultan Perak," kata beliau di Ipoh semalam.

Mohammad Nizar, yang ditemui di Ibu Pejabat PAS Perak untuk menghadiri mesyuarat tergempar parti itu di sini malam ini, berkata pada majlis mengadap beliau dengan Sultan Perak di Istana Kinta petang semalam, Sultan Azlan Shah belum menitahkan keputusan baginda kepadanya.

"Tuanku bertitah baginda memerlukan masa untuk membuat kajian sedikit (atas cadangan kerajaan Pakatan Rakyat untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN)).

"Mungkin Tuanku akan merujuk kepada pakar-pakar perundangan supaya dapat mengelak sebarang krisis Perlembagaan.

"Saya akur dan menerima sebarang keputusan yang diperkenankan Tuanku," katanya bagi mengulas pertemuan selama dua jam di Istana Kinta.

Mohammad Nizar berkata, majlis mengadap Sultan Perak berjalan dengan cukup baik seperti biasa, dan telah mempersembahkan kepada baginda keadaan politik negeri Perak yang tidak menentu dan memohon perkenan baginda untuk membubar DUN dengan serta merta.

Memandangkan Sultan Perak belum membuat sebarang keputusan mengenai perkara tersebut, "saya masih berterusan mentadbir bersama-sama ADUN Pakatan Rakyat, dan akan menjalankan tugas seperti biasa."

Beliau berkata pada pandangan Pakatan Rakyat, bagi menyelesaikan masalah ketidak tentuan politik di negeri ini berikutan wujudnya ADUN yang melompat parti maka adalah baik diadakan pilihan raya semula dan keputusannya akan menjadi lebih bersih.

Jika Sultan Perak tidak berkenan untuk membubarkan DUN, kerajaan Pakatan Rakyat masih boleh memerintah sebagai kerajaan sementara dan kerajaan ini masih sah sebagai kerajaan minoriti seperti yang berlaku di Kanada dan India, katanya.

Sementara itu Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Perak, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pucuk pimpinan BN belum memikirkan mengenai calon Menteri Besar yang baru.

"Itu belum difikirkan oleh Datuk Seri Najib dan Pak Lah tetapi kita ada 28 calon sekarang ini," katanya.

BN Perak yang kini mempunyai cukup bilangan kerusi untuk membentuk kerajaan baru selepas empat ADUN Pakatan Rakyat meninggalkan parti masing-masing.

ADUN Bota, Datuk Nasarudin Hashim yang menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dua minggu kembali menyertai BN.

Sementara itu tiga yang lain bertindak menjadi ADUN Bebas ialah Jamaluddin Mohd Radzi (PKR-Behrang); Mohd Osman Mohd Jailu (PKR-Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (DAP-Jelapang).

Mengulas mengenai perkembangan yang berlaku di Perak, Ramly berkata, beliau berharap Pakatan Rakyat menerima apa jua keputusan berdasarkan undang-undang.

"Kita harap mereka menerima apa yang berlaku kerana sebarang tindakan harus mengikut undang-undang.

"Jangan pula selepas ini ada yang bertindak bertentangan dengan undang-undang," katanya.

Sehingga pagi ini, pihak istana belum mengeluarkan apa-apa kenyataan sama ada pembubaran DUN Perak diperkenankan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

ADUN Behrang dianiaya PKR?

Artikel Lain