suria

Speaker Dewan Sumatera mati diserang penunjuk perasaan

JAKARTA: Speaker Dewan Perwakilan Rakyat Daerah Sumatera Utara Abdul Aziz Angkat meninggal dunia akibat diserang bertubi-tubi oleh ribuan penunjuk perasaan yang menceroboh masuk ke dalam dewan yang tengah bersidang pada 10.30 pagi ini.

Penunjuk perasaan itu merupakan kelompok yang pro pembentukan Provinsi Tapanuli Utara yang bukan saja mengusung peti mayat dan sepanduk ke dalam dewan tetapi juga membelasah Abdul Aziz dan membalingnya dengan pelbagai benda termasuk gelas, demikian menurut laporan agensi berita Antara.

Penunjuk perasaan itu terus menyerang setelah Abdul Aziz dilarikan ke bilik-bilik rehat Speaker dan kemudiannya cuba diselamatkan oleh polis ke lantai bawah dewan itu tetapi terus diserang dan dimaki hamun.

"Abdul Aziz jatuh dan polis cuba membawanya ke hospital tetapi terus dihalang oleh ribuan penunjuk perasaan itu yang menuduhnya berpura-pura sakit," kata laporan Antara dari Medan.

Ketika polis cuba untuk membawa Abdul Aziz ke dalam trak polis untuk dikejarkan ke hospital, penunjuk perasaan itu menghalangnya tanpa mengendahkan keadaannya yang sangat kritikal ketika itu.

Kenderaan polis yang membawa Abdul Aziz tidak boleh keluar dari pekarangan dewan kerana diasak oleh penunjuk perasaan.

Sebaik tiba di sebuah hospital antarabangsa di ibu kota wilayah Sumatera Utara itu, Abdul Aziz terus diberi bantuan kecemasan tetapi beliau tidak dapat diselamatkan.

Abdul Aziz dilantik menjadi Speaker pada 27 Nov lepas.

Sebelum itu, Allahyarham merupakan pensyarah di Universitas Negeri Medan.

Beberapa wartawan di Medan yang dihubungi Bernama melalui telefon berkata, penunjuk perasaan itu termasuk golongan mahasiswa dipercayai diperalatkan golongan tertentu, dan ada antara mereka kelihatan seperti dalam keadaan mabuk. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain