suria

Dua beranak dituduh bersubahat rompak RM85,950

KUALA LUMPUR: Seorang jurujual syarikat menjual emas tulen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tuduhan bersubahat dengan anaknya dan dua remaja lain merompak RM85,950 dari tempat kerjanya di sini dua minggu lepas.

Tamam Wasman, 58, dari Hulu Langat, didakwa bersubahat dengan anaknya Hafizal, 28, Md Zaidi Md Dzahir, 26, dan Fairol Alias, 27, merompak pejabat Syarikat Etika Emas Estate Sdn Bhd, di Megan Embassy, Jalan Ampang, pada 11.30 pagi 9 Jan lepas.

Hafizal, Md Zaidi dan Fairol pula dituduh merompak secara berkumpulan wang tunai milik syarikat itu menggunakan tiga bilah parang panjang di tempat dan masa yang sama.

Mereka mengaku tidak bersalah.

Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Fatt meminta mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM50,000 setiap seorang memandangkan seorang daripada pekerja syarikat itu cedera ketika kejadian rompakan itu.

Lee memberitahu mahkamah bahawa polis hanya menjumpai RM22,000 daripada wang yang dirompak itu.

Kempat-empat tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar jaminan dikurangkan kerana mempunyai keluarga untuk disara. Hakim Zainal Abidin Kamarudin menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin masing-masing dan kesemua mereka diperintahkan melaporkan diri di balai polis berhampiran dengan kediaman mereka dua kali sebulan.

Beliau juga melarang kesemua tertuduh meninggalkan kawasan Selangor dan Wilayah Persekutuan tanpa kebenaran mahkamah, dan menetapkan 6 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Hanya Tamam membayar wang jaminan manakala tiga tertuduh lain dihantar ke Penjara Sungai Buloh untuk ditahan reman. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain